Ada perkara saya bincang dengan Hamidin tak boleh dikongsikan — Pan-gon


  • Podium
  • Selasa, 16 Jul 2024

Pan-gon mencatatkan tiga tahun yang cukup bermakna buat skuad kebangsaan.

BEKAS pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mendedahkan terdapat beberapa perkara dibincangkan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak boleh dikongsikan secara terbuka.

Perkara itu dikongsikan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu ketika mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada jawatannya pada Selasa.

"Saya tidak boleh beritahu anda di sini. Dia (Hamidin) tahu segalanya, kami juga telah berbincang mengenainya banyak kali, bukan hanya sekali.

BACA LAGI: Hamidin akan menghadap Sultan Selangor bulan depan

BACA LAGI: 'Mungkin nak jaga periuk nasi masing-masing, kedudukan Hamidin nampak tak goyah'

pagetr_1697527012

Pan-gon (kiri) dan Hamidin memiliki hubungan cukup baik. Facebook/FAM

"Saya tidak akan ulas apa-apa berkenaan ini. Jadi, lebih baik kita tidak bercakap mengenainya lagi. Dan jangan pula tanya Datuk Hamidin," kata Pan-gon.

Ini bukanlah kali pertama jurulatih itu mendedahkan perkara sedemikian kerana sebelum ini, dia pernah menceritakan dirinya menerima mesej selepas kekalahan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 kepada Tajikistan.

Perkara itu sudah tentu menimbulkan lebih banyak persoalan memandangkan Pan-gon seakan-akan mempunyai punca tersendiri selain isu peribadi atas keputusannya meninggalkan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, meskipun soalan diaju beberapa kali terhadapnya, pengendali berkenaan bertegas untuk tidak menjawab perkara itu secara terbuka dalam sidang media.

Pan-gon turut menjelaskan dia sudah mengajukan surat peletakan jawatan, namun sering ditolak Hamidin yang memujuknya untuk memikirkan semula keputusannya itu.

“Ketika (dakwaan saya mahu letak jawatan) Mac lepas berita yang dilaporkan adalah palsu. Namun, ketika perlawanan bertemu Taiwan saya ada kata kepada media mahu kekal lebih lama di sini.

“Namun, selepas itu barulah saya terfikir mengenai status saya selaku ketua jurulatih dan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM berkali-kali, minggu lalu baru dia (Hamidin) menerima peletakan jawatan saya.

“Alasan saya hanya Presiden FAM yang tahu dan lebih elok untuk saya agar tidak dedahkan kepada umum. Harapan saya agar semua positif dengan keputusan yang diambil,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram