KHABAR mendukacitakan dari kem Harimau Malaya apabila muncul spekulasi mendakwa pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan meletakkan jawatan secara rasmi pada Selasa.
Desas-desus mengecewakan itu timbul menerusi laporan dari media Korea Selatan, KORFootballnews yang memaklumkan bahawa pengendali berusia 55 tahun berkenaan akan membuat sidang media khas untuk mengumumkan peletakan jawatannya.
BACA LAGI: Nama 2F jadi pilihan, penyokong Kedah reda Syafiq Ahmad tak dapat turun lawan JDT
"Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan membuat sidang media khas hari ini (Selasa) bagi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih," memetik hantaran dari media berkenaan pada Selasa.
Khabar angin berkenaan semakin dipercayai apabila tersebar jemputan rasmi sidang media dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertarikh 16 Julai yang dipercayai berhubung kait dengan peletakan jawatan Pan-gon.
Sekiranya pengendali kelahiran Korea Selatan itu sah mengundurkan diri dari posisinya, ia pastinya akan mengecewakan para pemain pasukan kebangsaan yang sudah bersama Pan-gon sejak Januari 2022.
Nama Pan-gon sebelum ini pernah dikaitkan dengan peletakan jawatan pada Mac lalu namun ia segera dipadam oleh FAM dengan mengatakan jurulatih itu akan terus komited untuk mengemudi Harimau Malaya dalam usaha mencapai impian ke Piala Dunia 2026 sambil mengesahkan tempat di Piala Asia 2027.
Tangkap layar laporan dari media Korea Selatan.
Namun, kegagalan Malaysia yang gagal mendapatkan slot automatik ke Piala Asia 2027 baru-baru ini menimbulkan lagi naratif sama sehingga mencetuskan kebimbangan penyokong mengenai nasib pengendali kegemaran ramai itu.
Bagi ekor Harimau Malaya, Pan-gon masih individu tepat untuk mengemudi skuad Harimau Malaya. Benar, Malaysia sedang mengalami masalah dari segi prestasi, tetapi itu tidak bermakna beliau harus diketepikan.
Sejak memegang jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya pada 2022, Pan-gon berjaya melonjakkan kedudukan ranking FIFA negara di kedudukan terbaik. Malaysia kini berada di ranking ke 135 dunia berbanding ranking ke 174 kira-kira beberapa tahun yang lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram