PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan jawatannya dalam Harimau Malaya selepas tiga tahun berada dalam posisi tersebut.
Dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor pada Selasa, jurulatih dari Korea Selatan itu mengesahkan khabar angin yang tular baru-baru ini.
BACA LAGI: Media Korea Selatan kecoh KPG undur diri jadi pengendali Harimau Malaya
"Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia, saya hari ini ingin mengumumkan saya akan meninggalkan jawatan saya dalam Harimau Malaya," kata Pan-gon.
Pan-gon akan digantikan pembantunya, Pau Marti Vicente yang akan berada memegang jawatan itu sehingga aksi Pestabola Merdeka seperti mana disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi.
Jurulatih berusia 55 tahun berkenaan menyertai skuad kebangsaan pada 2022 bagi menggantikan Tan Cheng Hoe dengan misi cukup besar dipikulnya.
Bagaimanapun, pengalamannya di beberapa negara Asia menyaksikannya membawa perbezaan besar buat Harimau Malaya, terutamanya dari segi kedudukan ranking FIFA.
Selain itu, Pan-gon membawa kenangan cukup bermakna buat peminat bola sepak tanah air selepas membantu pasukan itu ke Piala Asia 2023 meskipun pencapaian negara kurang memuaskan.
Dalam pada itu, dia turut berkata, tempohnya bersama Harimau Malaya membawa kenangan cukup hebat, lebih-lebih dengan sorakan tidak putus daripada penyokong.
"Sokongan padu Ultras Malaya juga merupakan antara motivasi terbesar untuk saya, sokongan Datuk Hamidin juga antara kekuatan saya.
"Selain itu, saya juga bersyukur kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, serta kelab-kelab bola sepak yang terus membenarkan saya mencuba untuk memperbaiki kekuatan kami,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram