SEBAIK saja melepaskan jawatannya sebagai pengendali skuad kebangsaan Malaysia pada Selasa, Kim Pan-gon dilaporkan bakal kembali ke negaranya dengan ada kelab sudah menanti kehadirannya.
Pan-gon melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya dengan pengumuman dibuat dalam satu sidang media diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.
Jurulatih itu mengatakan dia meninggalkan Malaysia atas faktor peribadi dan ingin kembali ke negara kelahirannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pan-gon sah letak jawatan, Pau Marti jadi pengganti sementara
BACA LAGI: Tan Cheng Hoe ganti Kim Pan-gon pimpin Harimau Malaya?
Kepulangan Pan-gon ke Korea Selatan membolehkan khidmatnya dalam bola sepak terus ditagih dengan namanya disebut bakal mengendalikan salah sebuah kelab utama negara itu.
Menurut media Korea Selatan, Xsports News, Pan-gon disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengendali baharu Ulsan HD yang kini sedang menduduki tangga kedua saingan K-Leauge 1.
Pan-gon yang tidak asing lagi dalam bola sepak Korea Selatan dikatakan akan menggantikan pengendali semasa Ulsan, Hong Myung-bo yang bakal diangkat sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan negara tersebut menggantikan Jurgen Klinsmann.
Dijangka diumumkan oleh FA Korea Selatan dalam masa terdekat, hebahan mengenai kepulangan Pan-gon ke Ulsan turut akan menyusul selepas itu.
Kim Pan-gon disebut bakal menggantikan Hong Myung-bo yang dilantik sebagai pengendali Korea Selatan. — Agensi
Jika Pan-gon kembali ke Ulsan, dia akan bersama kelab tersebut buat kali pertama selepas 28 tahun meninggalkannya. Sebagai rekod, Ulsan merupakan salah sebuah kelab yang pernah disertai Pan-gon sebagai pemain.
Pan-gon pernah beraksi untuk Ulsan dari 1992 hingga 1996. Ketika itu, Ulsan dikenali sebagai Hyundai Tigers.
Seandainya dia sah diumumkan sebagai pengendali baharu Ulsan, Pan-gon dijangka mengendalikan kelab lamanya itu buat pertama kali ketika Ulsan berdepan Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi liga pada 20 Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram