Hamidin akan menghadap Sultan Selangor bulan depan


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah bahawa masih belum menerima permohonan Hamidin untuk menghadap baginda.

PERMOHONAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mendapat perkenan baginda.

Menurut Hamidin, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada beliau pada Jumaat.

BACA LAGI: Maszlee Malik serah wang pencen, Amirudin Shari kumpul dana demi keadilan Selangor FC

BACA LAGI: Selangor FC masih boleh merayu — MFL

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk Munir kira-kira pukul 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan mengadap Tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Datuk Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” katanya.

Hamidin berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Datuk Munir bahawa Tuanku Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai 2024.

“Insya ALLAH jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” jelas Hamidin.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Selain perlu membayar denda RM100,000, skuad kendalian Nidzam Jamil itu terpaksa beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam perlawanan minggu ke-14 Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ia susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei 2024.

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku Presiden FAM kerana baginda telah lama mengenali beliau yang merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan juga berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram