BEKAS pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab sah menjadi pemain baharu bagi kelab Korea Selatan, FC Seoul.
Pengumuman itu dibuat oleh kelab tersebut pada Isnin dengan Yazan mencipta rekod sebagai pemain Jordan pertama beraksi bagi kelab tersebut.
Dalam siaran yang dilakukan oleh pihak kelab, Yazan nyata teruja dapat bersama-sama kelab yang dianggap sebagai antara kuasa bla sepak Korea Selatan.
BACA LAGI: Rezeki keluar Selangor, Yazan dapat 'offer' kelab bekas bintang Man United
BACA LAGI: Yazan tak beraksi 3 bulan lepas digantung FAM, masih simpan hasrat kembali ke Liga Super
"Saya gembira dapat bersama FC Seoul yang merupakan kelab terbesar di Korea Selatan. Saya mahu membantu kelab ini mendaki puncak dan mara ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menggunakan kekuatan fizikal, ketegapan badan dan kualiti tandukan saya.
"Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan para penyokong secepat mungkin dan maju bersama," kata Yazan.
Yazan bakal menyarung jersi bernombor 55 bersama kelab Korea itu. Ia berbeza ketika di Selangor apabila pertahanan tersebut menyarung jersi nombor 5.
Pertahanan tengah itu bakal bersama-sama bekas pemain Manchester United, Jesse Lingard membantu menaikkan kedudukan FC Seoul yang kini di tempat keenam saingan K-League 1 selepas 23 perlawanan.
Rezeki Yazan dapat beraksi di Korea Selatan nyata tidak disangka-sangka. Selepas episod hitam digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat berkelakuan tidak sopan terhadap pengadil pada 2023, pemain itu bangkit menyerlah dalam kariernya.
Dia pergi ke Piala Asia 2023 bersama skuad Jordan dengan status pemain tanpa kelab, mempamer persembahan hebat hingga berjaya membawa negaranya ke perlawanan akhir.
Hasil daripada itu, Yazan menyertai kelab Qatar iaitu Muaither SC sebelum kontraknya tamat Januari lalu.
Yazan mungkin tidak dapat melakukan penampilan pertamanya bersama FC Seoul apabila mereka berdepan Pohang Steelers dalam aksi Piala FA Korea yang dijadualkan pada Rabu.
Tetapi, dia mungkin dapat beraksi ketika mereka bertemu pendahulu liga, Gimcheon Sangmu pada Ahad.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram