Akademi Kedi, MGA raikan graduan ambilan pertama di Kelab Golf Senibong


  • Podium
  • Isnin, 15 Jul 2024

Program tersebut dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada belia tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. — Instagram/AMS Caddy Academy

AKADEMI Kedi (AMS) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) berbesar hati menyambut graduasi para pelajar kelas perintis di Kelab Golf Senibong yang terletak di Johor Bahru, Johor.

Acara itu menjadi satu peristiwa penting dalam menjayakan misi akademi untuk memartabatkan profesion kedi di Malaysia.

Pusat latihan kedua Akademi Kedi AMS yang dilancarkan hanya dua bulan selepas akademi tersebut memulakan operasi, kini meraikan hari graduasi bagi 11 pelajar ambilan pertama mereka di Senibong.

BACA LAGI: Pengenalan akademi kedi pertama negara tingkatkan reputasi sukan golf negara — Presiden AGM

BACA LAGI: Trio golfer wanita negara mahu 'tawan' bumi New Zealand

Anwar Mohd Nor

Pencapaian tersebut dianggap sebagai langkah awal perjalanan transformatif bagi individu terlibat dan industri golf Malaysia secara keseluruhannya.

Majlis graduasi itu turut dihadiri Presiden MGA, Tan Sri Anwar Mohd Nor; Setiausaha MGA, Datuk Zulkifli Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kecil MGA (Pematuhan dan Audit Dalam), Zulkifli Mohd Yusoff; Pengarah Program AMS, Chong Chee Ming serta wakil daripada pemain golf, Haldane Lee dan Mohammed B Ishak.

Sementara itu, Anwar berkata, pihaknya mengharapkan sokongan daripada rakan gabungan MGA untuk menjayakan program berkenaan.

"Program ini dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada belia tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Akademi Kedi AMS merupakan inisiatif yang dibiayai sepenuhnya secara persendirian dengan kerjasama MGA, menyasarkan latihan kepada 4,000 kedi seluruh Malaysia menjelang 2026 untuk memenuhi permintaan domestik semasa.

Inisiatif itu penting dalam mengurangkan kebergantungan industri kepada kedi asing, menyediakan peluang pekerjaan yang mantap dan terjamin kepada bakat tempatan di samping menawarkan laluan kerjaya yang jelas.

Kelab Golf Senibong berfungsi sebagai hab akademi golf di Johor.

Kelab Golf Senibong yang berfungsi sebagai hab akademi di rantau Johor, memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan lagi prestasi sukan golf negara.

Bukan sahaja dikenali sebagai destinasi yang terkenal, kelab berkenaan juga bersedia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan golf di seluruh Johor.

Misi Utama Akademi Kedi AMS adalah untuk membina impak positif kepada komuniti sekitar dengan menyediakan laluan kerjaya serta memupuk kemahiran buat individu yang bercita-cita membina kerjaya dalam bidang golf.

Usaha pihak berkenaan didorong oleh sokongan tidak ternilai daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui platform Rakan Muda.

Perkongsian itu juga membolehkan mereka mendekati lebih ramai belia Malaysia, sekali gus membuka peluang untuk membina kerjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram