DALAM usaha menyemarakkan lagi sambutan sukan golf dalam negara, Persatuan Golf Malaysia (MGA) dengan kerjasama Akademi Kedi AMS (AMS) memperkenalkan akademi kedi pertama dengan pensijilan MGA dalam negara.
Usaha badan induk sukan golf negara itu diambil selaras dengan objektif AMS untuk mempromosikan sukan tersebut dan memastikan komponen diperlukan tersedia untuk orang ramai.
Perikatan berkenaan juga merupakan bukti kepada dedikasi MGA untuk memupuk kecemerlangan, mencipta peluang dan memastikan pembangunan holistik bagi sukan golf.
Pengumuman bersejarah berkenaan dibuat semasa satu acara yang diadakan pada Rabu di Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, Selangor yang turut dihadiri Presiden MGA, Tan Sri Anwar Mohd Nor.
"Kerjasama ini bukan sahaja bertujuan menambah baik sukan golf, tetapi ia juga dengan objektif menyemarakkan lagi komuniti kita secara menyeluruh.
Beberapa penggiat aktif dalam sukan golf diberikan pencerahan mengenai inisiatif terbabit.
"Langkah ini juga dibuat dengan misi memperkukuhkan lagi reputasi negara sebagai salah satu destinasi terbaik buat atlet golf seluruh dunia," katanya.
Upacara terbabit menyaksikan beberapa persembahan disediakan, termasuk persembahan akademi kedi AMS serta pameran program latihan.
AMS sebelum ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan dalam meningkatkan piawaian kedi dalam negara dengan akademi terbabit menyediakan penyelesaian kepada isu kekurangan kepakaran dalam bidang tersebut.
Dalam pada itu, akademi berkenaan bersedia menyeragamkan selain memartabatkan kerjaya kedi dengan sokongan daripada badan-badan kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia.
AMS juga tekad membuka jalan untuk orang ramai memulakan perjalanan untuk menjadi kedi profesional, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram