SEKURANG-KURANGNYA lima terbunuh manakala 20 orang lagi cedera parah dalam kejadian letupan bom kereta di sebuah kafe di Mogadishu, Somalia pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian itu, kafe tersebut dipenuhi peminat bola sepak yang menonton perlawanan akhir Euro 2024 menyaksikan pertembungan antara England menentang Sepanyol yang berkesudahan Sepanyol menang 2-1.
Imej dan video yang disiarkan di internet menunjukkan bebola api besar dan kepulan asap tebal menyelubungi langit sewaktu letupan yang memusnahkan restoran popular di pusat bandar itu.
BACA LAGI: Tapak nuklear Zionis jadi sasaran Iran jika diserang balas
Bebola api besar dan kepulan asap tebal menyelubungi langit sewaktu letupan. — Agensi
“Sebuah bom kereta diletupkan di luar Restoran Top Coffee. Bom ini diletakkan oleh pengganas Kharijite.
“Laporan awal polis mengesahkan lima maut dan 20 kecederaan,” lapor Agensi Berita Nasional Somalia(SONNA), memetik kenyataan jurucakap polis, Mejar Abdifitah Aden Hassan.
Saluran Televisyen Nasional Somalia melaporkan maklumat sama mengenai pengeboman tersebut, yang berlaku ketika sekumpulan anak muda menonton perlawanan akhir Euro 2024.
Seorang wartawan AFP berkata, anggota bomba, polis dan ambulans bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Polis telah mengepung kawasan itu, yang berhampiran dengan pekarangan istana presiden yang dikenali sebagai Villa Somalia.
Al-Shabaab melancarkan pemberontakan berdarah terhadap kerajaan persekutuan Somalia selama lebih 17 tahun dan melancarkan beberapa serangan bom di Mogadishu serta lokasi lain di negara itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram