TINDAKAN kebanyakan peniaga warga asing yang kerap membuang sayur-sayuran lama ke dalam parit besar di Jalan 2/3A, Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur mendatangkan kemarahan penduduk tempatan.
Hasil tinjauan Majoriti di sekitar kawasan tersebut mendapati parit besar yang terletak di belakang bangunan kedai itu sememangnya dipenuhi dengan sayur-sayuran seperti kangkung, kacang panjang, sawi, daun ketumbar, bawang besar dan limau kasturi.
Bukan hanya sayuran, barangan lain seperti perabot lama dan papan lapis yang masih elok turut sama dicampak.
BACA LAGI: Curang, mentua antara punca utama pasangan muda bercerai
Parit tersebut juga tidak dihalang dengan apa-apa penghadang.
Lebih mendatangkan bahaya, parit itu juga tidak dihalang dengan apa-apa penghadang kerana difahamkan penghadang besi sebelum ini telah dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Keadaan itu mungkin juga menjadi antara faktor yang memudahkan proses pembuangan sampah tersebut.
Salah seorang peniaga di pasar borong berkenaan, Saifuldin Osman, 55, berkata, aktiviti pemantauan yang kurang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan golongan itu tidak takut untuk membuang sampah di situ.
Selain itu jelasnya, kawasan tersebut juga tidak disediakan tong sampah besar untuk kegunaan penduduk dan peniaga di kawasan sekitar membuang sampah mereka.
"Kawasan ini tidak dikawal dengan tegas menyebabkan mereka sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan juga kaki lima.
"Situasi ini memberikan imej kurang baik kepada orang lain yang berkunjung ke sini, selain baunya juga yang tidak menyenangkan," katanya ketika ditemui Majoriti.
Saifuldin Osman
Kongsinya lagi, aktiviti pembuangan sampah kebiasaannya bermula kira-kira pukul 3 hingga 7 pagi, yakni ketika orang lain sedang lena tidur.
Jelasnya, menjelang tempoh waktu tersebut, ramai peniaga warga asing yang dilihat galak membuat 'operasi'.
"Biasanya memang pada waktu itu mereka akan datang ke belakang dan buang, masa hari tengah gelap lagi mereka buat kerja.
"Iyalah, kalau siang orang ramai boleh nampak perbuatan mereka," katanya.
Adu Saifuldin, jadual kutipan sampah yang tidak tersusun juga mengakibatkan mereka semakin kerap menjalankan aktiviti membuang sampah ke dalam parit.
"Tengoklah, kadang 'rajin' mungkin datang dua hari seminggu, kalau tidak, sekali seminggu sahaja," ujarnya ketika ditanya tentang jadual pengutipan sampah di lokasi tersebut.
Tiada tong sampah besar yang disediakan di kawasan itu menyebabkan kebanyakannya membuang sampah ke dalam parit.
Dia yang sudah berniaga selama 10 tahun di kawasan itu berkata, pihaknya sudah membuat laporan menerusi laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
Bagaimanapun ujarnya, tiada sebarang maklum balas yang diberikan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan itu kepadanya.
"Sekiranya ada tong sampah besar disediakan PBT berkaitan, masalah pembuangan sampah ke dalam parit mungkin dapat dikurangkan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram