Perdana Menteri lulus peruntukan RM100,000 subsidi tambahan buat warga Felda


  • Primer
  • Ahad, 14 Jul 2024

Anwar ketika sambutan Hari Peneroka Felda 2024, yang diadakan di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, Selangor pada Ahad.

KERAJAAN memperuntukkan subsidi tambahan sebanyak RM100 juta kepada warga Felda bagi menampung peningkatan kos operasi ladang susulan rasionalisasi diesel.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Peneroka Felda 2024, yang diadakan di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, Selangor pada Ahad.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tersebut dipersetujui selepas Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan rundingan dengannya berhubung isu dihadapi peneroka Felda susulan keputusan penyasaran subsidi diesel.

BACA LAGI: Jangan buat spekulasi, beri kerajaan masa 'settle down' pelaksanaan subsidi diesel — Amir Hamzah

BACA LAGI: Malaysia kutuk serangan udara rejim Israel di Kem Al-Mawasi

"Adakah pelaksanaan penyasaran subsidi (diesel) boleh 100 peratus sempurna? Ahmad Shabery telah bawa (isu dihadapi Felda) selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

"(Beliau tanya) bagaimana tentang peneroka Felda? Mereka guna peralatan (libatkan diesel), maka saya setuju (lulus peruntukan tambahan RM100 juta)," katanya.

Berhubung penyasaran subsidi diesel, Anwar meminta semua pihak berunding untuk mendapatkan manfaat daripada kerajaan dan bukannya mencaci di mana-mana platform.

"Runding baik-baik, saya wakil saudara. Rundingan baik dan kita cari penyelesaian, kalau maki hamun tidak dapat (apa-apa) (kerana) lagi kuat kamu maki lagi menyampah saya nak layan,” kata beliau.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan dibuat bagi memastikan ia tidak dinikmati golongan yang tidak berhak seperti warga asing dan syarikat maha kaya.

"Semua (pimpinan dahulu) setuju penyasaran subsidi tetapi kenapa tidak buat, sebab tidak berani kerana beberapa kelompok marah,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan Felda bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI.

Beliau berkata melalui peruntukan itu, setiap tanah rancangan akan menerima RM100,000 untuk melaksanakan satu projek ekonomi tambahan di kawasan mereka.

"Cadangkan satu projek ekonomi tambahan dan saya lulus setiap kampung RM100,000. Sekarang, (projek itu) sedang berjalan. Saya mahu semua (projek) diwakili melibatkan jawatankuasa masjid, surau, belia dan wanita,” kata beliau.

Anwar turut meminta supaya satu kaedah baharu diperkenalkan terutamanya daripada generasi muda bagi mengangkat Felda ke peringkat lebih tinggi. — The Star/ Tarrence Tan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram