Trio golfer wanita negara mahu 'tawan' bumi New Zealand


  • Podium
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Presiden Malga bersama trio pemain golf wanita negara dalam program sesi penyerahan peralatan sukan golf. — Majoriti

TIGA bintang muda golf negara nekad memnberikan aksi terbaik ketika menggalas cabaran ke kejohanan Piala Queen Sirikit (QSC) 2024 di Clearwater Golf Club, Christchurch, New Zealand pada 20 hingga 23 Mac ini.

Dengan sandaran diletakkan kepada pemenang Sukan SEA 2023, Ng Jing Xuen, pastinya trio golfer itu mempunyai peluang yang cerah untuk mengharumkan nama negara.

Di sebalik pencapaian cemerlang pada tahun lalu, Jing Xuen yang mengetuai cabaran itu, tetap merendah diri apabila enggan meletakkan sebarang sasaran yang tinggi.

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik, tidak mahu terlalu tertekan dan enjoy the game.

"Bagi saya pesaing yang pertama adalah diri sendiri dan saya hanya mahu kawal emosi dalam kejohanan nanti, tidak mahu terlalu tertekan," kongsinya kepada Majoriti.

Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan tajaan peralatan sukan golf kepada ketiga-tiga atlet terbabit menerusi anjuran Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga).

Dalam pada itu, Presiden Malga, Tunku Puteri Tunku Puan Sri Datuk Seri Jawahir Almarhum Tuanku Ja'afar berkata, tujuan program tersebut diadakan adalah mahu memperkenalkan barisan atlet yang akan membawa nama negara bersaing di pentas Asia.

"Tujuan program pada hari ini adalah untuk memperkenalkan atlet-atlet yang berjaya melepasi sesi pemilihan sekali gus mewakili Malaysia untuk bersaing di New Zealand pada Mac," katanya.

Selain Jing Xuen, dua lagi atlet yang berjaya melepasi peringkat pemilihan sekali gus mengetepikan tiga calon lain semasa proses pemilihan di ibu negara baru-baru ini ialah Sohniya Chandra Mohan dan Pang Hee Jie.

BACA LAGI: 'Ini bukan waktu saya mengajar cara jaring gol,' bekas coach Kedah pernah guna 'taktik maki' pertajam striker Ghana

photo1710493133

Sesi penyerahan sumbangan daripada Air Asia (kiri) dan Yayasan Sime Darby (kanan). Majoriti

BACA LAGI: [VIDEO] Isu 'injury' Yi Fan jadi bualan, fans badminton Indonesia panas hati lihat Pearly-Thinaah singkir gandingan nombor 1 dunia

Sementara itu, ketika ditanya mengenai harapan dan sasaran yang mahu dicapai dalam kejohanan tersebut, Sohniya dan Hee Jie berkongsikan hasrat yang sama iaitu mahu membuat yang terbaik demi nama Malaysia.

"Ini adalah kali pertama saya mewakili Malaysia, jadi saya berpendapat bahawa pesaing dalam kejohanan di New Zealand adalah diri sendiri," kata Sohniya.

"Seperti yang dikatakan oleh Sohniya, saya pun berpendapat bahawa pesaing terdekat adalah diri sendiri," kata Hee Jie pula.

Naib Presiden Malga, Dr Noor Aziah Mohd Ariffin dilantik sebagai kapten dan akan mengiringi perjalanan ketiga-tiga atlet berkenaan ke New Zealand.

Piala QSC 2024 yang berlangsung pada 20 hingga 23 Mac depan adalah acara tahunan golf berpasukan membabitkan pemain wanita amatur dari 12 hingga 14 negara Asia Pasifik.

Dalam program tersebut, Malga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Sime Darby (YSD), Majlis Sukan Negara (MSN), Air Asia dan CARRO di atas sumbangan yang diberikan untuk ketiga-tiga atlet tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram