VAR kecewakan team universiti dapat gol saguhati lepas dibelasah JDT


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jun 2024

JDT meraih gol pembukaan seawal minit kedua dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 menentang MUFT pada Sabtu. — Facebook/ MFL

SEPERTI diramal, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menguasai permainan dengan menyaksikan Harimau Selatan meraih gol pembukaan seawal minit kedua dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 menentang Malaysian University FT (MUFT) pada Sabtu.

Gol pertama JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor diraih menerusi jaringan daripada pertahanan kiri, Corbin Ong selepas mendapat hantaran bantuan daripada Ramadhan Saifullah.

Enggan selesa dengan hanya satu jaringan, pemain Harimau Selatan terutamanya bahagian hadapan mereka terus membuat serangan bertali arus ke arah gawang yang dijaga Mohd Ashraf Mohamad Fadhil.

BACA LAGI: Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti

BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias

1

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat yang menyaksikan skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan lima gol. — Facebook/ MFL

Dari Arif Aiman Hanapi di sebelah kanan sehingga ke tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh, hampir semua pemain serangan Harimau Selatan seolah-olah mati kutu untuk melakukan percubaan dek taktikal bertahan digunakan MUFT.

Keputusan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Hector Bidoglio membuat perubahan dengan memasukkan dua pemain iaitu Romel Morales dan Francisco Geraldes bagi menggantikan Ramadhan serta Sumareh.

Percaturan Bidoglio bagi membawa masuk Romel dan Geraldes nyata membuahkan hasil apabila kedua-dua mereka mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan berkenaan.

Geraldes yang berperanan sebagai pemain tengah Harimau Selatan pada aksi tersebut berjaya mencetak dua gol pada minit ke-48 dan menambah gol ketiga 13 minit kemudian.

2

Semakan daripada VAR menggagalkan jaringan yang dibuat MUFT. — Facebook/ MFL

Gol keempat dan kelima skuad Harimau Selatan kemudiannya dihasilkan Shahrul Saad dan Romel Morales yang masing-masing membantu pasukan itu mendapatkan kelebihan lebih selesa.

Namun kekebalan benteng pertahanan JDT tidak berkekalan selepas pemain MUFT, Saiful Iskandar Adha menewaskan Izham Tarmizi setelah menerima hantaran daripada rakan sepasukan.

Bagaimanapun, semakan daripada video bantuan pengadil (VAR) menggagalkan jaringan itu selepas pengadil mendapati terdapat kekasaran terhadap Corbin Ong.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat yang menyaksikan skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan lima gol memasuki aksi kedua suku akhir di SSI pada Jumaat depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram