Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Sebahagian sesi latihan pasukan JDT yang dilihat sudah bersedia untuk membenam Malaysian University FT aksi pertama suku akhir Piala FA Sabtu nanti. — Facebook/JDT

KELIBAT tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Jalil Elias dalam sesi latihan skuad kendalian Hector Bidoglio itu pastinya memberi kelegaan kepada penyokong Harimau Selatan.

Kehadiran Jalil dalam sesi latihan JDT itu merupakan persediaan menjelang aksi berdepan Malaysian University FT (MUFT) dalam saingan suku akhir pertama Piala FA 2024 Sabtu nanti.

Sebelum ini, nama Jalil hangat diperkatakan apabila terdapat khabar angin mengatakan pemain berusia 27 tahun itu bakal kembali ke Amerika Selatan bersama bekas kelabnya, San Lorenzo.

BACA LAGI: Dari awal Liga M dilabel liga sarkas angkara 3 hukuman MFL bikin panas fans

BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias

Jalil Elias

Kelibat tonggak tengah Harimau Selatan, Jalil Elias yang mula melakukan persiapan bersama pasukan JDT. Facebook/JDT

Lebih menguatkan lagi spekulasi tersebut, kelibat pemain kebangsaan Syria itu tidak kelihatan aksi Liga Super 2024 ketika JDT berdepan Sri Pahang FC Sabtu lalu yang dipercayai namanya tiada lagi dalam perancangan skuad JDT.

Namun begitu, ketua jurulatih JDT, Bidoglio menepis dakwaan tersebut selepas tampil menjelaskan ketiadaan Jalil adalah disebabkan oleh lambakan pemain berkualiti di dalam skuad yang menyebabkan namanya diketepikan.

Bagaimanapun, kemunculan Jalil bersama pasukan JDT dalam sesi latihan pastinya memberi berita gembira buat penyokong Harimau Selatan yang ternanti-nantikan aksinya di atas padang.

Ia selepas satu foto yang dimuatnaik oleh Johor Southern Tigers di laman Facebook menyaksikan keberadaan Jalil bersama rakan sepasukan yang lain sedang giat menjalani sesi latihan bagi menghadapi aksi seterusnya.

Sesi latihan yang dikendalikan oleh Bidoglio itu turut disertai beberapa pemain utama skuad Harimau Selatan yang lain seperti Syihan Hazmi, Arif Aiman dan Chico Geraldes.

Aksi suku akhir pertama Piala FA nanti menyaksikan JDT dijadualkan bertemu wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram