PENDEDAHAN dan pengetahuan golongan muda terhadap isu penipuan dalam talian (scam) di negara ini masih berada pada tahap rendah.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Sungai Buloh, Mohd Raabuan Mohd Ain berkata, golongan itu kebanyakannya hanya pernah mendengar, tetapi tidak mendalami secara lebih jelas mengenai isu tersebut.
Menurutnya, mereka juga berkemungkinan tidak mengetahui bahawa scam sebenarnya merangkumi beberapa jenis modus operandi termasuk Love Scam, Macau Scam, ‘phishing’ atau memancing data, jenayah e-dagang dan beberapa lagi.
BACA LAGI: Mangsa ugut ibu bapa sendiri, antara kes scammer 'pelik bin ajaib' pernah berlaku di Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] Influencer masuk sarang scammer di Kemboja ditahan buat 'content' palsu
Scam merangkumi beberapa jenis modus operandi, termasuk Love Scam, Macau Scam, ‘phishing’ dan jenayah e-dagang.
"Kebanyakannya akan cakap bahawa mereka tahu dan pernah dengar tentang scam, namun apabila diminta beri penjelasan, ramai yang tidak dapat jawab.
"Mereka (sebenarnya) kurang sedar tentang perkara tersebut. Isu scam ini sebenarnya dari dulu sudah ada, maklumat tentang perkara ini juga tersedia dalam internet, cuma tidak diberi pendedahan," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian selepas memberikan ceramah dalam Program Anti-Scam and Crime Prevention' anjuran pelajar Ijazah Komunikasi Interpersonal Fakulti Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kolej Vokasional Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Mohd Raabuan bagaimanapun tidak meletakkan 100 peratus kesalahan itu terhadap golongan generasi muda, sebaliknya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menguar-uarkan isu berkenaan.
Jelasnya, antara pendekatan yang dapat dilaksanakan termasuk turun padang dan mengadakan kempen dan ceramah di masjid, institusi pengajian serta lokasi yang bersesuaian.
Mohd Raabuan ketika memberi ceramah kepada di Kolej Vokasional Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
"Orang cakap (pengetahuan anak muda terhadap isu scam) lemah, tapi sebenarnya kami yang lemah sebab tugas memberi maklumat kepada masyarakat itu adalah tugas kami.
"Mungkin apabila kita buat ceramah kepada 100 orang, kami harapkan mereka juga akan sampaikan kepada lagi 100 orang yang lain.
"Fokus kami buat masa ini ialah kita mahu buat kempen rumah ke rumah sambil mengedarkan risalah, buat rondaan dan uar-uarkan di media sosial, ini yang kami lakukan sekarang," ujarnya.
Mengulas mengenai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), Mohd Raabuan memberitahu, meskipun sudah lebih setahun beroperasi, beliau mengakui masih ramai rakyat Malaysia yang belum menyedari kewujudan talian 997, iaitu talian hotline bagi membolehkan orang ramai melakukan tindakan segera sekiranya menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, panggilan itu perlu dibuat dalam tempoh kurang 24 jam bagi memberi peluang pihak berkuasa melakukan sekatan terhadap wang yang dipindahkan kepada penjenayah.
"Tidak dapat dinafikan ramai juga yang tidak tahu wujudnya bentuk bantuan seperti ini.
"Talian 997 sebenarnya sangat membantu mangsa kerana kaedah ini lebih cepat, kita sendiri pernah terima kes pengadu yang berjaya mendapatkan semula wang yang dicuri, meskipun bukan semua, tapi setidak-tidaknya ia dapat membantu," ujar beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram