SERAMAI 21 keluarga di Kampung Makau Suah, Sungai Bakap, Pulau Pinang sebelum ini diminta untuk mengosongkan rumah mereka sebelum Ahad.
Selepas menerima surat daripada pemilik tanah pada 26 Jun lalu, mereka yang membina rumah di atas tanah persendirian seluas 3.4 ekar terpaksa berpindah selepas lebih 30 tahun menetap di kawasan itu.
Bagaimanapun pada Jumaat, kerajaan Pulau Pinang mengambil inisiatif untuk menawarkan rumah mampu milik kepada mereka yang terjejas.
BACA LAGI: Subsidi diesel: Kumpulan pertama Budi Madani terima bayaran 10 Jun
BACA LAGI: Syarikat bas, pembinaan jamin rasionalisasi subsidi diesel bukan alasan naikkan harga
Difahamkan, notis tuntutan awal pengosongan diterima beberapa hari lalu dengan pampasan dimaklumkan akan diberikan sebanyak RM3,000.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dilaporkan berkata, tawaran itu diberikan atas dasar ihsan terhadap mangsa yang difahamkan kini tiada tempat untuk bergantung.
"Sebuah rumah mampu milik bernilai RM42,000 di Taman Puteri Gunung ditawarkan kepada penduduk yang terjejas secara terus berbanding sebelum ini perlu membuat permohonan dan menunggu giliran," katanya.
Meskipun Mohamad menegaskan, bantuan itu diberikan bukan atas dasar meraih sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan pada 6 Julai depan, namun masih ada individu beranggapan sebaliknya.
Menjengah ke ruangan komen di laman Facebook, majoriti pengguna media sosial menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu hanyalah sebagai permainan politik semata-mata.
Menurut Mohd Salleh, pihak kerajaan dikatakan sekadar mahu mengambil kesempatan atas kesusahan yang menimpa rakyat.
"Inilah permainan orang politik, niat dan tujuan nak ambil kesempatan. Bila habis PRK jadilah 'Wal Hasil Jadi Wal Asal', Melayu juga jadi sasaran," katanya.
Ujar seorang lagi pengguna Facebook, Bert Karlvardos turut mempersoalkan tindakan pantas hanya diambil kerajaan apabila sesuatu isu berbangkit menjelang pilihan raya.
"Fuhhhh...kalau PRK, minta rumah pun bagi, kes sebelum ini sampai rumah kena roboh, kenapa kerajaan tak tolong?" soalnya.
"Bagi RM3,000 tapi nak bayar balik pendahuluan RM4,200 kalau betul nak tolong bagi (secara) percuma tanpa pendahuluan baru betul. Kata nak tolong (tetapi) dalam diam tekan balik," ujar Mohd Yusof Selamat.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram