Masalah sosial di Malaysia makin meruncing jika peniaga warga asing masih berdegil


  • Massa
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Pertambahan warga asing akan memberi imej yang tidak baik kepada negara.

LAMBAKAN peniaga warga asing di Malaysia tidak akan membantu dari segi menambah baik kedudukan kewangan negara.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Anak Lyndon berkata, hal ini kerana warga asing yang berniaga di negara ini tidak dikehendaki untuk membayar cukai kepada kerajaan.

Menurutnya, golongan tersebut juga tidak perlu menjalani saringan kesihatan dan mengikuti prosedur perundangan yang dimohon daripada pihak berkuasa atau majlis perbandaran.

BACA LAGI: Pecat 'kepala' PBT jika isu peniaga warga asing masih berlarutan

BACA LAGI: [VIDEO] Influencer masuk sarang scammer di Kemboja ditahan buat 'content' palsu

"Sedangkan warga tempatan yang berniaga perlu membayar cukai dan mengikuti segala prosedur yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata, pertambahan peniaga warga asing juga memberi lebih banyak impak negatif kepada permasalahan sosial masyarakat Malaysia.

Jelasnya, ia termasuk kesan dari segi kesihatan, kebersihan, persaingan untuk mendapatkan pengguna dan lebih parah, ia berisiko menjurus ke arah peningkatan isu sosial melibatkan jenayah di sesebuah kawasan.

1 (1)

Pertambahan peniaga warga asing juga memberi lebih banyak impak negatif kepada permasalahan sosial masyarakat Malaysia.

"Namun isu sosial yang paling ketara ialah sekiranya peniaga warga asing bertambah, saya percaya ini akan memberi imej yang tidak baik kepada negara.

"Di samping itu, kawasan tersebut akan dikuasai sepenuhnya oleh warga asing dan akhirnya peniaga tempatan terpaksa lari ke tempat baharu yang lebih selamat," ujarnya.

Beliau dalam pada itu tidak menafikan, kewujudan permintaan dan penawaran dalam kalangan pembeli tempatan dengan peniaga warga asing menyebabkan bisnes mereka masih mampu bertahan sehingga kini, malah semakin menunjukkan peningkatan.

"Rantaian perniagaan mereka perlu diteliti daripada hujung hingga ke pangkal.

"Jika dilihat daripada proses penguatkuasaan, kita harus melihat kepada dua perspektif iaitu secara hukuman dan terhadap struktur atau rantaian perniagaan tersebut secara keseluruhan.

"Keseluruhan rantaian atau struktur perniagaan mereka perlu diteliti secara komprehensif dan konstruktif," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-06-28 at 20.44.29

Novel Lyndon

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan undang-undang, Novel Lyndon tidak menganggap peraturan sedia ada itu longgar.

Jelasnya, isu itu sebaliknya perlu dilihat dan dibincangkan dalam satu kerangka yang lebih besar.

"Warga asing yang berniaga hanya bertindak sebagai aktor sosial, yang mana keseluruhan sistem tersebut dikendalikan oleh pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan.

"Persoalan yang timbul sebenarnya ialah mengapa mereka berani melakukan kesalahan sama berulang kali?

"Ini sudah tentu kerana dalam konteks perniagaan mereka, wujud pembeli dan pembekal, malah golongan ini juga mungkin ada yang 'menjaganya'.

"Mereka juga mungkin ada pengetahuan tentang keseluruhan sistem berdasarkan pengalaman mereka berniaga di negara sendiri," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram