BARU-BARU ini kecoh mengenai khabar angin pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) dengan anggaran nilai tiga juta Euro (RM15.2 juta), Jalil Elias bakal meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Khabar angin berkenaan hangat diperkatakan apabila pemain tengah tersebut mahu pulang ke negeri kelahirannya, Argentina selepas tidak sampai satu musim beraksi buat Harimau Selatan.
Laporan daripada media Argentina, Debate San Lorenzo memaklumkan bahawa pemain pasukan kebangsaan Syria berkenaan berada dalam radar bekas pasukannya iaitu San Lorenzo.
BACA LAGI: [VIDEO] Kesilapan Jalil buat Syria 'menangis' berdepan Australia dalam Piala Asia
BACA LAGI: [VIDEO] Selain disambut baik penyokong JDT, bintang Man United tumpang 'like' kehadiran Jalil Elias
San Lorenzo dikhabarkan menunjukkan minat untuk mendapatkan semula khidmat bekas pemain Newell's untuk memperkuat pasukan berkenaan dalam saingan Argentine Primera División.
Walaupun setakat ini pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio sudah menegaskan bahawa Jalil masih beraksi buat JDT namun tidak mustahil jika pemain berusia 28 tahun itu sedang mempertimbangkan tawaran dari San Lorenzo.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga faktor kebarangkalian Harimau Selatan akan melepaskannya atau Jalil sendiri memilih untuk berpisah dengan juara 10 kali Liga Super tersebut.
1) Sukar bersaing posisi tengah
Hong Wan masih menjadi pilihan utama Bidoglio untuk mengisi posisi pemain tengah bertahan. — Facebook/JDT
Tidak usah diperdebatkan, kedalaman skuad Harimau Selatan salah satu asbab pasukan Liga Malaysia (Liga M) lain sukar untuk menewaskan JDT untuk mana-mana perlawanan domestik.
Kedalaman skuad ini sememangnya memberi persaingan sihat dalam kalangan pemain namun di sisi lain, ia perlahan-lahan akan meminimumkan minit permainan seseorang pemain jika menyertai Harimau Selatan.
Hakikat itu berlaku kepada Jalil apabila jeneral tengah itu perlu bersaing dengan pemain lain seperti Afiq Fazail, Hong Wan, Nazmi Faiz, Natxo Insa, Chico Geraldes, Juan Muniz dan Endrick bagi menembusi kesebelasan utama.
Perkara itu juga diakui oleh Bidoglio yang tidak menafikan kualiti Jalil namun pilihan lain turut menawarkan kepakaran sama di bahagian berkenaan dan mempamerkan aksi cemerlang bila diperlukan.
Untuk rekod, kali terakhir pemain yang selesa dengan kaki kanan itu beraksi buat skuad Harimau Selatan adalah pada 18 Mei lalu ketika JDT mengalahkan Negeri Sembilan FC 3-1 di laman sendiri.
2) Prestasi semasa bersama Syria
Jalil yang merupakan pemain warisan buat pasukan Syria berdasarkan susur galur keluarganya melakukan aksi debutnya bersama negara berkenaan pada aksi menentang Uzbeskitan dalam saingan Piala Asia 2023 Januari lepas.
Bekas bintang Godoy Cruz itu bagaimanapun tidak memenuhi jangkaan penyokong apabila Jalil gagal membantu Syria mara ke pusingan suku akhir lagi-lagi selepas dia hadir dengan reputasi sebagai pemain berpengalaman dari beberapa kelab popular Argentina.
Kekalahan terbesar Jalil bersama skuad The Eagles of Qasioun apabila pasukan berkenaan dibelasah 0-5 oleh Jepun dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.
Kepahitan tersebut menyaksikan Jalil dan rakan sepasukannya gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas Jepun dan Korea Utara menghuni kedudukan dua teratas.
3) Tidak sesuai dengan taktikal Bidoglio
Bidoglio (tengah) menegaskan Jalil bersama JDT. — Facebook/JDT
Faktor tidak sesuai dengan taktikal yang diterapkan Bidoglio juga boleh menjadi punca Jalil memilih untuk angkat kaki daripada Harimau Selatan walaupun hanya sempat tampil dalam satu perlawanan bersam JDT.
Walaupun Jalil mempunyai banyak kelebihan seperti berkeupayaan untuk menjadi perancang tengah yang baik mahupun ketika fasa bertahan dan menyerang namun Bidiglio masih sukar meletakkan dia sebagai kesebelasan utama.
Bukitnya, pengendali Argentina berkenaan sudah membuat percubaan dalam perlawanan Negeri Sembilan menentang JDT dan ketika perlawanan itu pun, Bidoglio hanya menggunakan khidmatnya selama 69 minit.
Oleh itu, Bidoglio boleh memberi masa kepada Jalil untuk menyesuaikan diri dalam pasukan dan memberinya peluang dalam aksi menentang Malaysia University bagi aksi suku akhir Piala FA sebelum membiarkan Jalil mengucapkan selamat tinggal terlalu awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram