Maszlee Malik serah wang pencen, Amirudin Shari kumpul dana demi keadilan Selangor FC


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Kerajaan negeri Selangor melancarkan usaha bersama dan memberi peluang kepada semua pihak termasuk peminat The Red Giants untuk mengumpul dana.

KONTROVERSI yang melanda arena bola sepak tanah air ketika ini melibatkan pasukan Selangor FC dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) nampaknya semakin mendapat perhatian banyak pihak.

Terbaharu, Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk membiayai dana bagi bayaran denda yang dikenakan terhadap skuad Gergasi Merah.

Ia susulan penarikan diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei lalu, ekoran kes simbah asid yang melanda pemainnya, Faisal Halim.

BACA LAGI: Ikut 'morning walk' Kuching City, bekas pemain kebangsaan sedih lihat nasib Danish

BACA LAGI: Selain Fydriszewski, 3 bekas anak didik Hector Bidalgio boleh tarik minat JDT

Malah ujar Maszlee lagi, beliau bersedia memperuntukkan wang pencen saraan sulungnya untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

"Kami yang menumpang teduh mencari rezeki di bumi Selangor teguh bersama Tuanku Sultan dan kerajaan negeri Selangor dalam isu ini," ciapnya di laman X (Twitter) pada Rabu.

Majoriti pada Rabu melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan rasa dukacita terhadap keputusan yang dibuat MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memberikan hukuman kepada Selangor FC.

"Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku," titah baginda dalam satu kenyataan.

Sultan Sharafuddin menegaskan, hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

2

Sultan Selangor murka dengan keputusan MFL yang menjatuhkan hukuman terhadap Selangor FC yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama dan memberi peluang kepada semua pihak termasuk peminat The Red Giants untuk mengumpul dana bagi membayar denda yang dikenakan.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai dana itu akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh Majlis Sukan Negeri Selangor dan Exco Sukan Negeri.

"Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas Amirudin, titah murka Sultan Selangor terhadap keputusan MFL turut menggambarkan kekecewaan peminat bola sepak terhadap pengurusan itu.

Tambahnya, denda dan hukuman dikenakan MFL terhadap Selangor FC dianggap tidak bertimbang rasa serta melampaui batas.

1

Selangor FC berdepan denda RM100,000 daripada MFL.

"Keganasan jenayah yang berlaku terhadap Faisal Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air.

"Mewakili Kerajaan Selangor, patik menjunjung kasih titah baginda yang murka atas keputusan dibuat oleh MFL.

"MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram