SSPN jawab persoalan sama ada perlu difaraid atau tidak


  • Massa
  • Rabu, 26 Jun 2024

Ibu bapa digalakkan mula menabung untuk anak-anak mereka seawal mungkin bagi mengelakkan timbulnya masalah kewangan di kemudian hari.

SKIM Simpanan Pendidikan Nasional atau lebih dikenali sebagai SSPN merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang diwujudkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertujuan memastikan rakyat Malaysia berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ibu bapa digalakkan mula menabung untuk anak-anak mereka seawal mungkin bagi mengelakkan timbulnya masalah kewangan di kemudian hari, hingga menyebabkan anak-anak mereka sukar merealisasikan impian untuk menggenggam segulung ijazah.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, adakah skim tersebut perlu 'difaraidkan' atau tidak?

BACA LAGI: 'Hasrat nak PTPTN mansuh tak tercapai, ada sampai minta kurangkan tunggakan jadi RM150'

BACA LAGI: PTPTN umum 3.05 peratus dividen SSPN 2022, lebih tinggi banding 2021

Menjawab persoalan itu, SSPN menerusi satu kenyataan di laman Facebook milik mereka, SSPN-i Plus PTPTN memberi penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

Pihaknya menjelaskan bahawa SSPN sememangnya perlu melalui proses faraid, meskipun akaun simpanan itu dibuka oleh ibu bapa untuk anak mereka.

Ujarnya, perlu diingatkan bahawa ibu bapa merupakan pendeposit, sementara anak pula dikelaskan sebagai penerima manfaat.

"Sistem menetapkan pemegang akaun simpan SSPN ikut nama pendeposit. Sekiranya nak buat pengeluaran atau penutupan akaun SSPN, duit akan dikreditkan ke dalam akaun bank ibu bapa yang jadi pendeposit, bukan akaun bank anak.

"Apabila berlaku kematian kepada ibu bapa (pendeposit), apa-apa harta termasuk simpanan SSPN akan jadi pusaka dan perlu melalui proses faraid," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya sedar akan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai proses faraid tersebut.

"Iya lah, dah simpan untuk anak-anak. Apabila berlaku kematian, simpanan SSPN jadi pusaka dan ia memerlukan pihak berkaitan menghadapi proses faraid," ujarnya.

Bagaimanapun, SSPN turut memaklumkan, sebenarnya ada penyelesaian lain yang boleh diusahakan apabila berdepan dengan isu tersebut.

Jelas kenyataan itu, sekiranya anak genap umur 16 tahun, ibu bapa boleh mengusahakan untuk membuka akaun Simpan SSPN anak.

sspn2

SSPN diwujudkan PTPTN bagi memastikan rakyat Malaysia berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kemudian pindahkan baki simpanan Simpan SSPN daripada akaun sedia ada ke akaun baharu anak, tetapi jangan terus tutup akaun sedia ada sekiranya ibu bapa masih ingin menikmati manfaat SSPN.

Ibu bapa boleh membuat penamaan Simpan SSPN kerana ia tidak melangkaui proses faraid.

SSPN juga menjelaskan, terdapat dua kelebihan jika ibu bapa membuat penamaan Simpan SSPN.

"Pertama, ia dapat bantu memudahkan urusan pengeluaran simpanan Simpan SSPN apabila berlakunya kematian pendeposit.

"Kedua, ia juga membolehkan pihak PTPTN melepaskan simpanan Simpan SSPN ke atas akaun pendeposit yang sudah meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk mentadbir (bagi yang beragama Islam) atau menerima (bagi orang yang bukan beragama Islam) dengan segera tanpa perlu mengemukakan Geran Probet/ Surat Kuasa Mentadbir/ Perintah Pembahagian," tambahnya.

Sementara itu, SSPN turut memaklumkan, ibu bapa boleh usahakan untuk membuat hibah amanah melalui syarikat luar yang menyediakan perkhidmatan tersebut, namun terdapat kos-kos lain yang mungkin akan dikenakan oleh penyedia hibah amanah itu.

Katanya, Simpan SSPN juga sedang mengusahakan agar simpanan berkenaan boleh dihibah kepada anak.

"Proses ini diakui memakan masa. Sama-sama doakan agar usaha ini dipermudahkan dan memberi nilai tambah kepada pelanggan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram