Ikut 'morning walk' Kuching City, bekas pemain kebangsaan sedih lihat nasib Danish


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Kalang Tie (kanan) bersama Danish semasa melakukan latihan ringan bersama skuad Piala MFL Kuching City FC. — Facebook/Joseph Kalang Tie

BEKAS pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie yang kini merupakan barisan kejurulatihan Kuching City FC bersimpati dengan nasib seorang kanak-kanak bernama Danish yang tidak bersekolah akibat kesempitan kehidupan.

Menerusi perkongsian Kalang Tie dalam media sosial terkejut dengan kehadiran Danish yang secara tiba-tiba menyertai sesi latihan ringan skuad Piala MFL Kuching City dipercayai di sekitar Kuala Lumpur pada Rabu.

Kalang Tie mengajak orang ramai untuk mengambil iktibar atas nasib menimpa budak lelaki itu yang tidak bersekolah demi membantu keluarganya.

BACA LAGI: Selain Fydriszewski, 3 bekas anak didik Hector Bidalgio boleh tarik minat JDT

BACA LAGI: Dipertikai guna Bunga Matahari, Puaka Jerai perjelas maksud sebenar maskot Kedah

"Danish seorang anak muda yang harus untuk diri saya dan anak muda sekarang ambil contoh dalam kehidupan kita sekarang.

"Rutin seperti biasa sebelum 'matchday', pasukan akan buat 'some activation morning walk'.

"Datang seorang budak bernama Danish tiba-tiba sertai kumpulan untuk 'morning walk session'.

"Dalam perjalanan sambil sembang dengan budak tersebut, saya tanya dengan budak tersebut, hari ini tak sekolah ke adik?

"Bukan ke hari ini sekolah. Danish jawab. Abang saya dah lama tidak sekolah. Saya tanya balik. Kenapa? Danish jawab, saya tidak mampu pergi sekolah abang, ayah tengah sakit tenat di rumah kawan.

"Mak? mak dah meninggal abang waktu usia saya darjah empat (10 tahun), kerana serangan jantung (sewaktu di Terengganu dan asal Terengganu)," katanya.

Semasa melakukan sesi latihan ringan pagi itu, Kalang Tie sempat memberikan sedikit nasihat buat Danish sambil belanja kanak-kanak lelaki itu sarapan pagi.

"Kata-kata yang saya kongsi dengan dia adalah, Danish jangan sesekali putus asa dalam hidup kerana percaya rezeki itu luas kalau betul dengan niat dan usaha keras dan nilai murni kamu untuk membantu ayah kamu (Danish anak tunggal).

"Percayalah Danish jadi orang baik dan pasti rezeki kamu murah adik, jangan hanyut dengan kehidupan yang tidak baik.

"Sebab ibu kamu sentiasa bersama kamu adik," jelasnya.

Untuk info, Kalang Tie sangat dikenali dalam kalangan penyokong Sarawak dan Terengganu selain mewakili beberapa kelab dalam Liga Super.

Antara pasukan yang pernah diwakili bekas pemain berusia 37 tahun itu ialah Sri Pahang FC, Selangor FC dan Kuching City sebelum memilih untuk bersara musim ini.

Selain itu, Kalang Tie juga pernah beraksi untuk skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh dan penampilan pertamanya bersama Harimau Malaysia ketika menentang Chelsea pada 2011. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram