LARANGAN penggunaan penyedut minuman plastik di semua premis makanan dan minuman termasuk gerai serta penjaja dalam kawasan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dikhuatiri akan menambah beban kewangan pemilik perniagaan.
Berdasarkan tinjauan Majoriti pada Selasa, rata-rata pengguna media sosial berpendapat, meskipun ia satu langkah baik ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, namun peniaga terpaksa menanggung impak akibat usaha tersebut.
Menurut seorang pengendali laman X (Twitter) dengan nama akaun @kadani21, individu itu berkata, pemilik kedai perlu memikirkan alternatif lain bagi memberi kemudahan kepada pelanggan, dalam masa sama memenuhi undang-undang ditetapkan kerajaan tempatan.
BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’
MPK memaklumkan tentang larangan penggunaan penyedut minuman plastik untuk pelanggan, berkuat kuasa 1 Ogos ini. — Gambar hiasan
Katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyediakan straw biodegradasi di premis masing-masing.
"Para peniaga di Kangar nampaknya dah kena merancang untuk sediakan straw yang diperbuat daripada bahan semula jadi, ataupun straw biodegradasi.
"Ramai peniaga di luar Perlis pun dah guna kaedah ini, lebih selamat terutamanya untuk alam sekitar," ciapnya.
Bagaimanapun menurut @espressoqi_, penggunaan straw biodegradasi melibatkan pengeluaran kos yang agak tinggi.
"Kasihan peniaga-peniaga Kangar, kali terakhir saya lihat, straw biodegradasi lebih mahal berbanding plastik.
"Peniaga akan lebih menderita (dengan pelaksanaan ini), (melainkan) jika mereka melaksanakan diskaun kepada pelanggan yang membawa bekas sendiri," tulisnya.
MPK pada Isnin memaklumkan tentang larangan penggunaan penyedut minuman plastik untuk pelanggan, berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, sebagai alternatif, peniaga ataupun pemilik premis itu boleh menggunakan penyedut minuman yang diperbuat daripada bahan jenis biodegradasi.
Jelasnya, kegagalan peniaga mematuhi arahan itu boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka.
"Sekiranya gagal mematuhi arahan Majlis (di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976) boleh dikenakan kompaun maksimum RM500 atau boleh didenda oleh mahkamah jika disabitkan kesalahan iaitu tidak melebihi RM2,000," katanya dalam satu kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram