[VIDEO] ‘Gold for first gold’, Hamidin pertahan kontroversi pakaian rasmi kontinjen negara ke Olimpik Paris


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Hamidi perjelas isu seragam utama atlet Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

PERBEZAAN warna dan reka bentuk baharu seragam utama atlet Malaysia yang diperkenalkan pada Ahad lalu mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat, kata Chief de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata, reka bentuk baharu itu juga dibuat atas permintaan para atlet.

"Kita semua telah bersetuju untuk menggunakan warna emas kerana warna oren sudah bermula sejak tahun 2004, dah lama. Jadi ramai atlet minta setiap kali (dalam) Sukan SEA atau Sukan Asia (supaya) tukar warna dan rekaan lain, jadi kami sepakat dengan Yonex untuk tukar warna emas (yang membawa maksud) kita sasar untuk dapatkan kemenangan," katanya menerusi satu rakaman yang dikongsikan di laman X (Twitter) pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam pada Selasa.

BACA LAGI: ‘Buruk dah satu hal, make it right’, pakaian rasmi skuad Olimpik dikecam, KBS kata tanggungjawab MOM

BACA LAGI: Bola sepak akan menunggu Faisal Halim — Hannah Yeoh

Pada Ahad, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melancarkan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 dengan badan tersebut memilih Yonex Sunrise sebagai pengeluar.

Mengenakan kuning dan hitam sebagai tema warna, ia bagaimanapun menerima kritikan hebat daripada pengikut sukan tempatan kerana coraknya yang tidak menarik.

Rekaan pakaian yang bakal dipakai oleh atlet negara di Paris, Perancis dianggap 'buruk' hinggakan mereka mahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengambil tindakan.

Namun begitu, Hannah berkata, keputusan tersebut dilakukan oleh MOM dan bukannya dalam bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia. Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN," kata Hannah.

Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 menerima kritikan hebat. — MOM

Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib dilaporkan berkata, meskipun berdepan kekangan tertentu, pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan dibangunkan dengan mengambil kira konsep rekaan terkini.

Menurutnya, pemilihan pakaian rasmi tersebut dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan.

"Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa, tetapi ihsan daripada penaja,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram