Kes Jana Wibawa: Perbicaraan Wan Saiful ditangguh 24 Jun


Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan projek.

PERBICARAAN kes penggubahan wang haram dan rasuah dihadapi bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa ditangguh ke Isnin depan (24 Jun).

Hakim Rozina Ayob melapangkan tarikh perbicaraan pada Rabu dan Khamis selepas peguam Joshua Tay yang mewakili Wan Saiful memohon penangguhan perbicaraan kes itu berikutan peguam utama, Amer Hamzah Arshad membawa ibunya ke hospital.

"Saya juga memohon supaya tarikh perbicaraan esok turut dilapangkan atas alasan isteri anak guam saya dimasukkan ke hospital semalam (Selasa). Susulan itu, anak guam saya perlu menemani isterinya sepanjang minggu ini bagi rawatan,” kata peguam itu.

BACA LAGI: Wan Saiful tidak mengaku bersalah, minta dibicara lepas dituduh ubah wang haram RM5.59 juta

BACA LAGI: Duit kerajaan 'auto' milik rakyat, berjuta ringgit lebur jika PRK 6 Parlimen diadakan — Penganalisis

Construction

Projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan.

Joshua berkata, pihaknya sudah memberikan sesalinan surat daripada pihak hospital kepada pihak pendakwaan dan mahkamah.

Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek terbabit.

Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Dia turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku, Kuala Lumpur antara 12 Ogos dan 13 November 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram