Wan Saiful tidak mengaku bersalah, minta dibicara lepas dituduh ubah wang haram RM5.59 juta


Wan Saiful, 48, yang bersut hitam, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada Rabu. — Bernama

AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta untuk dibicarakan bagi kesemua 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan nilai lebih RM5.59 juta.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada Rabu.

“Saya mengaku tidak bersalah dan menuntut perbicaraan,” katanya selepas mendengar setiap pertuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Jika sabit kesalahan, Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, bekas Pengerusi PTPTN itu didakwa memindahkan sejumlah wang hasil aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun bank milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd ke akaun bank milik Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd untuk membeli. sebuah Ford Ranger.

Pada 22 dan 29 Ogos tahun lepas, Wan Saiful juga didakwa memindahkan sejumlah dana RM2.3 juta melalui dua keping cek daripada WSA Advisory Group Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadinya.

Pada 31 Oktober tahun lepas, melalui syarikat sama, dia didakwa memindahkan sejumlah RM180,000 daripada aktiviti haram kepada Majlis Sukan Negara.

Dalam pertuduhan lain, sejumlah RM38,160 didakwa dipindahkan daripada syarikat Wan Saiful kepada Sinar Karangkraf Sdn Bhd pada 3 November 2022.

14 pertuduhan lain turut melibatkan wang yang didakwa dipindahkan dari akaun bank syarikatnya kepada beberapa organisasi dan individu lain.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan di cawangan Bank CIMB Bukit Tunku antara Ogos dan November tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop berkata, Wan Saiful turut didakwa di Mahkamah Sesyen lain di Kuala Lumpur pada Februari dan mencadangkan perbicaraan dipindahkan ke mahkamah sama.

Beliau turut mencadangkan jaminan bagi kesalahan predikat terdahulu, yang ditetapkan sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, untuk digunakan bagi 18 pertuduhan baharu tersebut.

Peguam bela tidak membantah cadangan yang dibuat.

Hakim Suzanna meluluskan kes itu dibicarakan bersama pertuduhan Wan Saiful sebelum ini yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Pada Februari, Wan Saiful didakwa atas dua pertuduhan rasuah melibatkan kira-kira RM6.9 juta.

Usaha beliau untuk membatalkan pertuduhan rasuah gagal pada Julai selepas permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Hakim Rozina Ayob yang mengetuai kes itu mengarahkan perbicaraan diteruskan dan perbicaraan akan bermula pada Mac tahun depan. — The Star/JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram