Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan


  • Politik
  • Ahad, 16 Jun 2024

PAS kini merupakan parti dengan jumlah terbesar di Parlimen iaitu sebanyak 42 kerusi. — Gambar hiasan

PENGANALISIS politik menjangkakan PAS mempunyai peluang agak tinggi menjadi Kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya yang akan berlangsung dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Penyelidik dan penganalisis politik Asia Tenggara, Bridget Welsh berkata, kemungkinan itu adalah mengambil kira trend semasa sokongan terhadap parti tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa untuk membentuk kerajaan, PAS masih perlu memerlukan kerjasama dengan parti lain bagi menubuhkan kerajaan gabungan.

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

"Saya rasa ada kemungkinan tapi kita mesti faham bahawa PAS tidak akan mentadbir negara ini secara sendiri kerana Malaysia akan (sekali lagi) memiliki kerajaan gabungan.

"Kita juga perlu ingat mereka sudah berada di dalam kerajaan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Jadi persoalannya bukan sama ada mereka akan mendominasi kerajaan, tetapi siapa rakan gabungan mereka dan apa peranan yang akan dimainkan," katanya.

Bridget berkata demikian ketika ditanya mengenai persoalan potensi PAS menjadi kerajaan dalam PRU akan datang menerusi program audio siar di saluran YouTube, Do More - Take Charge Of Your Life yang disiarkan baru-baru ini.

F4E3916E-AC25-4259-9031-237ADB88D28A

Bridget (kiri) ketika melancarkan buku tulisannya mengenai krisis dialami Umno pada 2018.

Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa Malaysia akan terus menikmati kestabilan pada masa depan di sebalik beberapa perubahan baharu yang berlaku di dalam arena politik negara sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Bridget menyatakan bahawa masa depan politik negara bakal dipengaruhi oleh sikap sebahagian besar rakyat Malaysia yang menurutnya memiliki pendirian agak konservatif.

"Ia mungkin bukan kerajaan yang kamu suka atau pilih, tapi Malaysia sebagai sebuah masyarakat, mereka lebih suka untuk berada dalam situasi selesa. Mereka cukup tidak selesa dengan sesuatu yang 'unknown' (tidak diketahui), berbeza dengan tempat lain," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, beliau berkata, trend pengundian yang memihak kepada PAS itu disumbangkan antara lain oleh kerana ketiadaan alternatif buat rakyat untuk membuat pilihan di pihak pembangkang.

Menurutnya, faktor tersebut bakal memainkan peranan sangat penting khususnya pada PRU akan datang.

"Persoalannya untuk PRU seterusnya adalah apakah yang akan menjadi pembangkang? Malaysia sudah mengundi kedua-dua pihak menjadi kerajaan (kerajaan dan pembangkang) dan sekarang ini kita berada di situasi wujudnya kerajaan gabungan.

"Pada waktu ini, PAS mendapat sokongan menggalakkan sebab mereka adalah satu-satuya pembangkang dan apa alternatif yang ada untuk rakyat Malaysia. Jadi pengundi yang tidak mahu mengundi kerajaan akan memberikan undi mereka terhadap PAS.

"Mereka tidak semestinya mengundi sebab sokong PAS, tapi mereka hanya mengundi selain daripada Kerajaan. Sememangnya itulah yang berlaku dalam banyak pilihan raya sebelum ini. Orang tidak undi BN (Barisan Nasional) sebelum ini pun atas sebab sama," ujarnya.

Ujarnya, pilihan alternatif yang boleh menarik sokongan kelompok konservatif daripada PAS seperti Umno juga kini berada dalam kerajaan juga dilihat berdepan dengan kemerosotan sokongan menyebabkan mereka sukar untuk meyakinkan pengundi.

"Jadi sebab itu saya merasakan mereka (PAS) untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan adalah agak tinggi sebab lihat sendiri hasil daripada tinjauan dilakukan dan juga prestasi PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu," katanya.

Perikatan Nasional flags being decorated outside of Bersatu Shah Alam office at Seksyen 9 in-conjunction with the General Election 15. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

PAS kini membentuk gabungan terbesar pembangkang di bawah PN.

Menyentuh mengenai kemungkinan untuk Umno melakukan kebangkitan semula, beliau yang juga ​penulis buku The End of UMNO, diterbitkan pada 2018 berkata, perkara itu agak sukar direalisasikan dalam keadaan parti itu mengalami krisis kepimpinan.

"Ia (Umno) sukar untuk bangkit bila mereka lebih menumpukan untuk mengeluarkan pemimpin mereka dari penjara berbanding menyediakan cadangan polisi.

"Ia sukar untuk bangkit jika pemimpinnya hanya menghamburkan dialog perkauman yang mungkin akan menarik balik sokongan pengundi asas mereka tapi pada masa sama hanya mewujudkan permusuhan dengan pengundi lain," jelas beliau.

PAS kini merupakan parti terbesar di Parlimen dengan 43 kerusi sementara keputusan PRN yang berlangsung pada Ogos tahun lalu menyaksikan parti itu berjaya menang selesa di tiga negeri dikuasainya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram