MALAYSIA kini dalam proses menanti keputusan muktamad serta maklum balas dari kerajaan Afrika Selatan bagi menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi wawancara dengan Guancha, sebuah laman berita yang berpangkalan di Shanghai, China pada Isnin.
Kumpulan negara-negara BRICS terhasil gabungan awal Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan bagi mengatasi dominasi ekonomi Eropah khususnya Amerika Syarikat.
BACA LAGI: 'Ini bukan zaman Tun M' antara jawapan kononnya Anwar Ibrahim bernasib baik jadi PM
BACA LAGI: BRICS: Malaysia tunggu keputusan Afrika Selatan — PM Anwar
Kini, lebih 40 buah negara difahamkan berminat untuk menyertai kumpulan tersebut dengan Arab Saudi, Iran, Ethopia, Mesir, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan kelompok baharu yang turut serta dalam BRICS.
Sehubungan itu, Malaysia yang secara dasarnya merupakan sebuah negara kecil, dijangka akan meraih pelbagai manfaat terutamanya bagi sektor ekonomi dan industri perdagangan.
Berikut merupakan antara tiga peningkatan dan kebaikan mampu dimiliki negara sekiranya Malaysia menyertai kumpulan tersebut.
1. Ekonomi Malaysia-China bertambah erat, teknologi automatif makin canggih
Hubungan baik sedia ada antara Malaysia dan gergasi Asia, China akan bertambah kukuh melalui jalinan terbentuk di dalam kumpulan BRICS.
Malah, industri perdagangan dan perkembangan teknologi juga dijangka akan bertambah baik hasil daripada sumbangan China melalui pelaburan projek-projek mega yang mampu menjana ekonomi negara.
Sektor automatif juga dijangka turut terkena tempias ekoran jalinan tersebut dengan kerjasama antara Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Proton-Geely) bakal berterusan serta saling bekerjasama dalam pelaburan buat kedua-dua negara.
2. Kemasukan pelabur dari negara anggota BRICS
BRICS yang ketika ini terdiri daripada lima buah negara hadir dengan potensi pelaburan besar buat Malaysia.
Penyertaan itu dilihat sebagai peluang mewujudkan pintu-pintu baharu pelaburan dan memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelbagaikan kemasukan pelabur dari negara anggota BRICS.
Malaysia selaku negara yang stabil dari segi geopolitik dan ekonominya, mampu menarik pelabur dari syarikat terkemuka selain entiti dari China.
Namun, perkara itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap pelaburan dari syarikat blok Barat yang sedia ada dalam negara susulan pembahagian dua kumpulan negara tersebut.
3. Suara Malaysia lebih didengari di peringkat antarabangsa
Malaysia bakal memiliki pengaruh yang besar di peringkat global bagi melantangkan suara serta pandangan dalam forum ekonomi peringkat antarabangsa.
Suara Malaysia dalam pelbagai isu akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan berbanding apabila bergerak secara bersendirian.
Keyakinan itu disuarakan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan ia sebagai langkah terbaik dalam terus memacu negara sebagai kuasa besar di Asia kelak.
Jelasnya, China dengan perkembangan ekonomi kedua terbesar di rantau ini, mampu mempertingkatkan lagi kebaikan dan pengaruh Malaysia terutamanya daripada aspek dagangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram