Pimpinan BERSATU-PAS yakin pertahan kerusi DUN Nenggiri


  • Politik
  • Rabu, 19 Jun 2024

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya yakin akan terus mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan pada PRK Nenggiri nanti.

KEPIMPINAN parti BERSATU dan PAS yakin akan terus mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, lapor Harian Metro.

Kedua-dua parti itu juga mengadakan perbincangan menentukan calon bagi mengisi kekosongan di kerusi DUN Nenggiri yang diumumkan kosong bermula Rabu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya yakin akan terus mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

BACA LAGI: Speaker DUN Kelantan isytihar DUN Nenggiri dikosongkan ekoran wakil rakyat BERSATU hilang keahlian parti

BACA LAGI: Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan

"Kita akui setiap kali berlaku PRK ada cabaran tersendiri namun kita yakin kerusi berkenaan akan terus menjadi milik kita.

"Siapa yang akan bertanding sama ada PAS atau BERSATU, pimpinan tertinggi akan bincang mengenai perkara berkenaan," katanya pada Rabu.

Jelas beliau lagi, PAS sebelum ini sudah mengambil langkah perlu apabila dua Ahli Parlimen di Kelantan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Selepas berlaku isu sokongan, kita sudah mengambil langkah perlu untuk berdepan PRK termasuk turun ke lapangan, dapatkan maklum balas pengundi dan memperkemaskan ahli," katanya.

Terdahulu, Speaker DUN, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri yang disandang oleh Mohd Azizi Abu Naim dikosongkan bermula Rabu.

Ketetapan itu diumumkan dalam satu sidang media di pejabatnya di Kota Bharu, Kelantan pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram