Duit kerajaan 'auto' milik rakyat, berjuta ringgit lebur jika PRK 6 Parlimen diadakan — Penganalisis


  • Politik
  • Khamis, 06 Jun 2024

Pilihan Raya Kecil (PRK) dijangka akan dilaksanakan di enam buah parlimen kelak. — The Star

POLITIK negara kini hangat menjadi perbualan rakyat susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijangka dijalankan sekali lagi di enam Parlimen berbeza.

Ia selepas keahlian enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dikatakan telah tergugur secara automatik kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keahlian mereka tergugur kerana melanggar arahan parti untuk menandatangani surat terus setia kepada parti.

BACA LAGI: Jika gagal jawab notis, 7 YB BERSATU berisiko hilang kerusi — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, keengganan mereka menandatangani surat itu juga menyebabkan mereka terlucut kerusi Parlimen.

Justeru, tumpuan masyarakat kini terarah kepada PRK yang mungkin akan dijalankan bagi penentuan pemegang kerusi baharu di Parlimen berkenaan.

2674242

Wan Ahmad Fayhsal merupakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar tegas menyatakan bahawa perkara itu sebagai satu pembaziran duit rakyat.

Jelasnya, kos untuk mengadakan semula pilihan raya sememangnya tinggi dan tidak sepatutnya berlaku buat kali kedua kerana ia tidak membawa kebaikan kepada negara.

"Duit kerajaan automatik duit rakyat, kalau buat pilihan raya lagi berjuta wang rakyat akan lebur hasil daripada segala cukai yang dibayar selama ini.

"Ahli politik negara kita sentiasa berfikir hal politik, lima tahun sentiasa cakap tentang politik yang tiada kesudahan dan hanya menyusahkan rakyat.

"Sepatutnya mereka lepas PRK terus berfikir untuk jaga kepentingan rakyat, ini tidak, mereka lebih pentingkan politik berbanding segalanya.

"PRK Kuala Kubu Bharu tempoh hari pun kita boleh nampak peratusan yang keluar mengundi di bawah 60 peratus, apatah lagi kalau enam pilihan raya dijalankan nanti," katanya kepada Majoriti.

Mencadangkan beberapa langkah penyelesaian tanpa membabitkan rakyat, Rusdi menggesa agar kerajaan dan pihak pembangkang berbincang dan buat keputusan adil bagi kedua belah pihak.

"Saya harap pemimpin pembangkang dan kerajaan bincang secara baik, buat perjanjian MOU antara kedua belah pihak supaya pembangkang juga ada diberikan peruntukan kerajaan.

"Kalau ada individu atau ahli Parlimen pembangkang yang sokong kerajaan untuk kebaikan rakyat apa salahnya.

"Kepentingan rakyat dan ekonomi negara yang paling utama, kita dalam krisis kos sara hidup tinggi sekarang, bukan asyik nak berpolitik dan pilihan raya sahaja," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram