BRICS: Malaysia tunggu keputusan Afrika Selatan — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 18 Jun 2024

Anwar Ibrahim bersama Eric Li (kanan) dalam sebuah laman berita yang berpangkalan di Shanghai, China pada Isnin.

MALAYSIA akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) tidak lama lagu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami telah membuat keputusan yang sewajarnya dan akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi.

"Malaysia kini menanti keputusan muktamad serta maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan," kata beliau semasa wawancara dengan Guancha, sebuah laman berita yang berpangkalan di Shanghai, China pada Isnin.

BACA LAGI: 'Ini bukan zaman Tun M' antara jawapan kononnya Anwar Ibrahim bernasib baik jadi PM

BACA LAGI: 'Jika Anwar Ibrahim bertanding pun PAS tetap menang'

Kumpulan BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, selain turut mengalu-alukan Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai ahli baharu semasa sidang kemuncak blok itu pada Ogos 2023.

Keahlian mereka mula berkuat kuasa sejak 1 Januari 2024.

Dalam temu bual itu, Anwar berkata, Malaysia komited terhadap 'Global South' dan potensi keahliannya dalam BRICS akan menjadi kepentingan strategik memandangkan kedudukan Selat Melaka sebagai laluan perkapalan penting yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Hindi.

Tambahnya, dia turut berasa lega kerana dunia tidak lagi bersifat unipolar, dengan BRICS memberikan sinar harapan bahawa terdapat semak dan imbang di dunia.

"Kita tidak boleh terima lagi senario di mana Barat mahu mengawal wacana kerana hakikatnya, mereka bukan kuasa penjajah lagi dan negara-negara merdeka harus bebas bersuara," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram