KEHADIRAN Faisal Halim pada aksi perlawanan Piala FA menyaksikan Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Sabtu memberi semangat yang luar biasa buat pasukan The Red Giants.
Selangor yang bermain di laman sendiri hanya memerlukan enam minit untuk memperoleh gol pertama melalui jaringan Yohandry Orozco.
Orozco pada minit ke-14 sekali lagi menghangatkan suasana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor selepas menjaringkan gol kedua untuk menggandakan kelebihan dimiliki mereka.
BACA LAGI: Masih belum puas, Orozco laung amaran ini hanya permulaan buat Selangor
Tangkap layar video Faisal Halim hadir bagi menyaksikan perlawanan antara Selangor dan Negeri Sembilan.
Babak pertama memperlihatkan skuad kendalian Nidzam Jamil menguasai hampir keseluruhan permainan, dengan NSFC dilihat bergelut membuat serangan balas untuk mengejar kedudukan.
Malah, benteng pertahanan mereka sekali lagi dibolosi selepas pemain import sayap Selangor FC, Alvin Fortes menjadikan kedudukan 3-0 menerusi gol pada minit ke-45.
Memasuki babak kedua, skuad Gergasi Merah masih sahaja mendominasi permainan.
Fortes meledakkan gol peribadi keduanya pada minit ke-66. — Facebook/ Selangor FC
Walaupun tendangan penalti penyerang Selangor FC, Ronnie Fernandez digagalkan penjaga gawang NSFC, namun skuad kendalian Azzmi Aziz semakin jauh ketinggalan selepas Fortes meledakkan gol peribadi keduanya pada minit ke-66.
Berakhir dengan keputusan 4-0, Selangor mengorak langkah dengan penuh gaya ke suku akhir Piala FA 2024/2025.
Menjengah ke ruangan komen di laman Facebook pula, terdapat sesetengah peminat beranggapan kejayaan Selangor itu sudah diduga dan kehadiran mereka bakal memberi persaingan sengit kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT).
"Patut la JDT risau. Selangor terlalu power (kuat), mereka dah kaji dari awal," tulis Syakirr Rs.
"Cantiknya permainan apabila dalam situasi menyerang, pemain melakukan teknik first touch yang baik, tidak asyik berhentikan bola," ujar Syahrezal Ab Ghani.
Untuk rekod, ini merupakan pertemuan kedua Selangor dengan Negeri Sembilan yang mana sebelum ini Gergasi Merah berjaya menewaskan The Jangs dengan keputusan 4-0 dalam Liga Super pada 26 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram