PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mewajibkan semua pasukan di taraf perdana mesti menyertai acara regu berpasukan menjelang Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai 2024.
Ia selepas satu pertemuan dan mesyuarat dilakukan ISTAF dan Persatuan Takraw Thailand sebagai satu langkah ke hadapan untuk persiapan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai ke-37 yang dijadualkan akan berlangsung di Korat, Thailand dari 1 hingga 8 September 2024.
Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader berkata, keperluan baharu itu bertujuan meningkatkan tahap persaingan dan memastikan pasukan terbaik dipertontonkan dalam kategori berprestij itu serta menambah dimensi menarik kepada kejuaraan.
BACA LAGI: 'Sistem 15 mata jadi kelemahan Thailand, beri peluang Malaysia julang Piala Dunia di laman sendiri'
BACA LAGI: Piala Dunia beri peluang tingkat kredibiliti pengadil sepak takraw tempatan — PSM
Pertemuan ISTAF dan Persatuan Takraw Thailand bagi persiapan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai ke-37 di Thailand pada September nanti.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Abdul Halim juga membincangkan beberapa bidang kritikal termasuk pengaturan logistik, penginapan atlet, penjadualan acara, dan strategi promosi untuk memastikan kejayaan acara.
"Pelbagai isu teknikal penting yang akan memberi kesan ketara kepada kejayaan kejohanan turut dibincangkan. Perbincangan ini adalah penting untuk memastikan aspek teknikal pertandingan berjalan lancar dan memenuhi piawaian antarabangsa.
"Selain itu, ISTAF mengumumkan rancangan untuk menyediakan Pelan Induk komprehensif yang bertujuan untuk mencipta konsep dan strategi penyiaran terbaik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, inisiatif tersebut direka untuk memastikan kejohanan mencapai penonton global, memberikan pengalaman menonton yang luar biasa dan meningkatkan profil antarabangsa sukan itu.
Sementara itu, terdapat tiga kategori yang akan menampilkan pelbagai acara untuk kedua-dua pasukan lelaki dan wanita dalam kejohanan tersebut.
Tiga kategori itu adalah Kategori Perdana (lelaki dan wanita) yang memerlukan 12 pemain setiap pasukan, manakala negara yang terlibat dalam Sepak Takraw Hoop boleh menghantar sehingga 15 pemain.
Pertemuan itu mampu mencipta konsep dan strategi penyiaran terbaik dalam sukan tersebut.
Kategori kedua pula adalah Kategori Bahagian Satu (lelaki dan wanita) memerlukan sembilan pemain setiap pasukan, manakala negara terlibat dalam Sepak Takraw Hoop juga boleh menghantar sehingga 12 pemain.
Kategori ketiga, Divisyen Dua pula hanya melibatkan lelaki kerana ia adalah permainan baharu dan jumlah pemain sama seperti kategori kedua.
Abdul Halim bagaimanapun berkata, sebanyak 33 negara akan menyertai kejohanan tersebut yang mencerminkan capaian global dan populariti sepak takraw.
Katanya, penyertaan yang pelbagai ini menjanjikan suasana yang mendebarkan dan kompetitif, mempamerkan bakat terbaik sukan itu dari seluruh dunia.
"Pertemuan ini merupakan bahagian penting dalam usaha kami untuk memastikan kejohanan berkenaan satu kejayaan yang memberangsangkan.
"Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Persatuan Takraw Thailand untuk menyampaikan acara bertaraf dunia," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram