KL City ulangi tragedi Kedah, NSFC, PKNS tersingkir awal Piala FA


  • Podium
  • Ahad, 16 Jun 2024

KL City FC sudah tentu kecewa apabila ditunjukkan jalan keluar terlalu awal daripada saingan Piala FA musim ini. — Facebook/MFL

KEJUTAN demi kejutan sudah dapat disaksikan setakat kesemua pusingan pertama Piala FA dengan setiap daripadanya sukar diterima peminat bola sepak tanah air.

Penyingkiran juara tiga kali, Sri Pahang FC kepada Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti boleh dianggap sesuatu luar jangkaan bagi kedua-dua penyokong.

Kekalahan 0-3 PDRM FC kepada wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University juga sukar diterima memandangkan skuad Sang Saka Biru memiliki reputasi tersendiri selepas menjuarai Piala MFL musim lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Situasi kini berbeza, Kelantan pernah kecewakan JDT kaw-kaw di pentas final Piala FA

BACA LAGI: [VIDEO] Piala FA: Penalti tak direstui, fans TBG berang ditunjuk jalan keluar terlalu awal

362927315_713250084146218_8182349437429068130_n

KL City tewas dalam perlawanan akhir Piala FA 2023 kepada JDT. Facebook/Kuala Lumpur City

Namun, apa yang lebih mengejut setakat ini adalah apabila finalis Piala FA 2023, Kuala Lumpur (KL) City FC disingkirkan dari kejohanan di peringkat awal kepada Kuching City FC.

Walaupun skuad Warga Kota sememangnya belum berada di tahap terbaik musim ini, mereka sepatutnya dapat memberikan tentangan melihat kepada lambakan bintang dalam pasukan.

Mereka yang menerima kunjungan kelab Borneo itu tewas 2-3 meskipun mendahului selepas 45 minit, sekali gus membuatkan edisi kali ini sukar dijangkakan.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama sebuah finalis Piala FA tersingkir pada musim berikutnya kerana tiga pasukan berkenaan pernah berdepan situasi sama sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1990.

1. Kedah FA (2009)

Gelaran double treble yang pernah diraih Kedah dari 2007 sehingga 2008 merupakan sesuatu yang cukup hebat dengan hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengulanginya.

Kualiti skuad di bawah kendalian Allahyarham Azraai Khor Abdullah sememangnya cukup lengkap sehingga mereka digeruni setiap kali berdepan pasukan tempatan.

Namun, situasi berubah pada 2009 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan menghalang pendaftaran pemain import atas faktor tertentu.

mainpix

Kedah FA merupakan pasukan digeruni selepas meraih gelaran double treble.

Kehilangan mereka jelas memberi kesan sehingga menyaksikan skuad Sang Kenari ditunjukkan jalan keluar awal dalam saingan Piala FA kepada UPB-My Team FC.

Mereka yang tampil dengan status juara bertahan diberikan laluan mudah apabila memulakan kempen di pusingan kedua berbanding pasukan-pasukan lain.

Tetapi, peluang berkenaan gagal disempurnakan selepas Kedah FA hanya meraih keputusan seri 1-1 di laman sendiri sebelum sekali lagi seri di tempat lawan dengan tiada sebarang gol dijaringkan.

Peraturan gol di tempat lawan menyaksikan UPB-My Team layak ke pusingan seterusnya sementara kelab Utara tanah air tersebut terus bergelut, termasuk dalam pentas Piala Malaysia.

2. Negeri Sembilan FC (2011)

Meskipun tidak meraih pelbagai kejayaan, Negeri Sembilan pernah menjadi sebuah pasukan digeruni berdasarkan lambakan pemain dimiliki mereka dari 2009 sehingga 2012.

Hairuddin Omar, Shukor Adan dan Zaquan Adha Abdul Radzak merupakan antara tonggak utama skuad Jang dengan Wan Jamak Wan Hassan merupakan jurulatih pasukan pada tempoh tersebut.

Salah satu pencapaian terbaik sudah tentu apabila kelab berkenaan menjuarai Piala FA 2010 kerana ia adalah kali kedua Negeri Sembilan menjulangnya.

25104_384332785979_133608345979_4410617_4500282_n

Skuad Jang pernah menjulang Piala FA sebanyak dua kali dalam sejarah mereka.

Kejayaan menundukkan Kedah FA dalam perlawanan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL menerusi penentuan sepakan penalti diraikan ribuan penyokong pasukan berkenaan.

Jadi, harapan sememangnya tinggi pada musim berikutnya dengan ramai beranggapan skuad Jang memiliki kualiti untuk mempertahankan gelaran mereka.

Namun, kisah sebaliknya berlaku apabila pada pusingan kedua, skuad Jang tersingkir di tangan KL FA menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Penyingkiran awal itu bagaimanapun tidak memberi kesan mendalam kerana pada penghujung musim, skuad Jang ditabalkan juara Piala Malaysia selepas Allahyarham Azraai dibawa masuk pada pertengahan musim.

3. PKNS FC (2017)

Beberapa musim lalu, PKNS FC sering dikatakan sebagai sebuah pasukan pencabar Liga Super dengan kualiti skuad tersebut cukup baik untuk memberikan saingan.

Kemuncak buat pasukan berpangkalan di Selangor itu adalah pada 2016 selepas mereka layak ke pusingan akhir Piala FA, namun tewas kepada JDT.

Pencapaian itu boleh dianggap cukup megah berdasarkan harapan penyokong yang cukup tinggi di samping tarikan peminat bola sepak untuk melihat sebuah kelab kecil menjadi pencabar.

WhatsApp Image 2024-06-15 at 17.43.03

PKNS FC merupakan sebuah pasukan yang cukup menarik untuk ditonton.

Oleh itu, dalam merealisasikan harapan berkenaan, mereka membawa masuk beberapa nama besar, termasuk bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali dan pemain import ternama, Patrick Ronaldinho Wleh.

Bagaimanapun, kejutan dialami dalam pusingan pertama Piala FA selepas skuad bimbingan E Elavaran tersingkir di tangan pasukan kerdil Liga Super, Melaka United.

Penyingkiran itu jelas memberi kesan jangka panjang buat PKNS FC yang dibubarkan beberapa tahun kemudian dengan mereka kini hanya dikenali sebagai Selangor FC II. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram