Sabah, Kedah mula 'bergoyang', tiada pemilik seperti TMJ antara 4 punca kelab Liga M terpalit masalah silam


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Beberapa pemain sudah mula berkongsi perasaan mereka dalam media sosial tentang isu tunggakan gaji.

BOLA sepak Malaysia dikejutkan dengan berita beberapa pasukan utama dalam Liga Super mula mengalami masalah tunggakan gaji meskipun perjalanan musim ini baru bermula.

Antara pasukan dikaitkan dengan masalah tunggakan gaji ialah Sabah FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meskipun tiada kenyataan rasmi daripada kelab terbabit.

Sabah dan Sri Pahang dikhabarkan sudah masuk empat bulan tidak mendapat gaji manakala Kedah pula didakwa turut mengalami nasib yang sama.

BACA LAGI: Striker Badak Lampung antara 2 bintang naturalisasi pernah beri sensasi berbeza buat kelab Liga M

BACA LAGI: [VIDEO] 'No 17 kuat makan orang', pemain bola sepak amatur terjah kasar kena kad merah

Banyak faktor boleh menjadi kemungkinan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) bergelut untuk mendapatkan kewangan yang stabil.

Namun Majoriti senaraikan empat faktor asas mungkin boleh menjadi punca pasukan Liga M mengalami masalah tunggakan gaji walaupun baru bermula:

1. Pemain import

Tidak dinafikan kehadiran pemain import dalam Liga M memberikan sedikit kemeriahan dan nafas baharu untuk menarik minat penyokong hadir ke stadium.

Namun tidak kesemua mampu untuk membelanjakan kewangan pasukan untuk membayar pemain import apatah lagi jika mempunyai lebih daripada tiga bintang asing.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah meningkatkan kuota pemain import sehingga membenarkan sesebuah pasukan menandatangani sembilan bintang asing.

Namun bagi gaji seorang pemain import pastinya boleh mencecah ratusan ribu ringgit jika bintang itu mempunyai kualiti gred A.

Manakala pemain import kualiti rendah mungkin gaji minimun akan ditawarkan oleh sebuah kelab sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 ia sekali gus memberikan kesan negatif pada kantung kewangan jika pasukan itu tidak mempunyai duit yang banyak.

Main Pix - 1

TMJ dan RMS antara dua figura yang cukup disegani dalam arena bola sepak Malaysia.

2. Tiada pemilik seperti TMJ, RMS

Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan antara pasukan paling stabil dalam Liga M ketika ini selepas kedua-duanya diterajui oleh pihak istana.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah antara dua figura yang cukup disegani dalam arena bola sepak Malaysia.

Disebabkan adanya dua figura ini, ia secara tidak langsung banyak syarikat berminat untuk menaja JDT dan Selangor sehinggakan mendapat tajaan bernilai jutaan ringgit.

Mungkin sukar untuk pasukan lain menarik minat pihak istana memegang bola sepak tetapi mungkin pihak pengurusan sedia ada boleh melamar beberapa syarikat gergasi untuk menerajui kelab.

Ia sama seperti dilakukan pihak pengurusan Perak FC yang berjaya memujuk XOX Berhad mengambil pasukan itu pada 2022.

3. Merchandise

Tidak semua pasukan dalam Liga Super mempunyai jualan jersi sendiri sehinggakan peminat tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan kit rasmi kelab yang diminati.

Jikalau kelab menjual jersi, harganya pasti sangat mahal sehingga ada yang mencecah ratusan ringgit dan ia secara tidak langsung membuatkan penyokong tidak berminat untuk membelinya.

Kesan daripada itu, peniaga haram mengambil kesempatan dengan 'mencetak rompak' reka bentuk asal jersi pasukan dan menjualnya dengan harga lebih murah.

Ia sekali gus memberikan kesan kepada kantung kewangan pasukan kerana penyokong tidak menyokong barangan asli pasukan.

Penyokong

Suasana stadium lenggang ketika perlawanan berlangsung. — Gambar Hiasan

4. Masih ada sentimen pilih perlawanan

Dalam hal ini, negara kita masih ketinggalan jauh dengan Indonesia yang mana peminat di sana jauh lebih fanatik berbanding di sini.

Hampir setiap perlawanan stadium akan dipenuhi dengan penyokong-penyokong untuk menyokong pasukan sekali gus membantu kantung kewangan kelab.

Rata-rata kelab di Liga M tidak mempunyai usaha untuk menarik minat pasukan turun ke stadium apabila hanya sekadar memuat naik posting 'matchday' perlawanan.

Selain itu, penyokong juga masih mempunyai sentimen memilih perlawanan dan hanya akan hadir ke stadium jika pasukan berjaya melangkah masuk ke separuh akhir dan bertemu gergasi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram