EMPAT gol tanpa balas dijaringkan Selangor FC berjaya menghadiahkan tiga mata ketika mereka menerima kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad lalu.
Salah seorang watak utama dalam kemenangan itu ialah pemain tengah, Yohandry Orozco yang menjaringkan satu gol di samping mencipta satu jaringan buat Noor al-Rawabdeh.
Namun, tonggak Gergasi Merah berkenaan masih belum berpuas hati dengan kemenangan meskipun mereka kini sudah melonjak ke dalam kelompok lima pasukan teratas.
BACA LAGI: 'Perform di pramusim', bintang Selangor, Terengganu, JDT 'belum panas enjin' dalam Liga Super
BACA LAGI: Selangor FC raih hak untuk ‘enjoy’ di sebalik kontroversi raikan jaringan
Orozco (kanan) menjadi watak utama dalam kemenangan skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
"Ini hanya permulaan buat kami dan kami akan menjadi semakin baik perlawanan demi perlawanan. Saya juga berpuas hati kerana berjaya menjaringkan gol selain merekodkan 'assist'. Saya berhasrat untuk membuatkan penyokong gembira," katanya.
Orozco turut menegaskan pemain Selangor FC sedang berada dalam momentum cukup baik di bawah bimbingan Nidzam Jamil dan masing-masing mahu membalas kepercayaannya.
Kemenangan di laman sendiri itu sekali gus menyaksikan mereka kini berada di tangga kelima Liga Super selepas tiga kali beraksi dengan enam mata diraih pasukan berkenaan.
Perlawanan itu turut meletakkan dua pemain baharu skuad Gergasi Merah, Ronnie Fernandez dan Reziq Bani Hani dalam senarai penjaring buat kali pertama sejak menyertai kelab Lembah Klang tersebut.
Dalam pada itu, Nidzam yang memikul tanggungjawab besar bersama Selangor FC boleh dikatakan amat berpuas hati dengan karakter serta kesungguhan dibuktikan anak-anak buahnya.
"Pemain-pemain mempunyai kebolehan untuk menjadi lebih baik. Mereka cukup bersedia untuk perlawanan kali ini dengan sikap masing-masing adalah cukup baik.
"Saya juga suka apa yang dilihat dalam diri Orozco selain keazaman dipamerkan Ronnie yang membawa perbezaan," katanya.
Skuad Gergasi Merah akan sekali lagi berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi pembukaan Piala FA di laman sendiri pada 15 Jun sebelum kembali beraksi dalam Liga Super dalam 'Derby Malaya' menentang Perak FC lapan hari kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram