Perak main lain macam, tetapi Terengganu masih ada kelebihan — M Karathu


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Karathu pernah mengendalikan Perak sebanyak empat kali sepanjang karier kejurulatihannya.

KEKALAHAN 1-2 dialami Perak FC kepada Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat menyaksikan mereka tersingkir awal daripada saingan Piala FA musim ini.

Meskipun mendahului menerusi Luiz Henrique Motta pada minit keenam, kealpaan benteng pertahanan menyaksikan gawang skuad The Bos Gaurus (TBG) ditembusi.

Sepakan penalti daripada Safawi Rasid dan rembatan luar kotak Marin Pilj memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah dengan Perak FC terpaksa akur dengan keputusan tersebut.

BACA LAGI: Melahirkan striker hebat seperti Allahyarham Shaharuddin Abdullah adalah sukar — Karathu

BACA LAGI: Bukan sekali, tapi khidmat anak jati Taiping didambakan skuad TBG sebanyak 4 kali

448406090_474917008422013_2716629993530557595_n

Skuad TBG sudah tentu sedikit kecewa dengan penyingkiran itu. — Facebook/Perak FC

Perasaan kecewa sudah tentu menyelubungi penyokong pasukan pelawat memandangkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu masih belum berada dalam rentak terbaik musim ini.

Bagaimanapun, menurut jurulatih legenda Perak, Datuk M Karathu, persembahan ditampilkan kelab Utara tanah air tersebut lebih baik berbanding sebelum ini, tetapi terpaksa mengakui kelebihan dimiliki Terengganu FC.

"Saya tengok mereka musim ini bermain lain macam atau lebih baik sedikit daripada tahun lalu. Tetapi, serangan belum cukup meyakinkan dengan penyudah tidak cukup baik.

"Kita boleh tengok perlawanan itu 50-50 kepada kedua-dua pasukan, cuma Terengganu ada cara lebih baik dan bermain lebih laju," katanya kepada Majoriti.

Musim lalu, Perak FC yang dibawa naik ke Liga Super bergelut untuk memberikan aksi cemerlang apabila hanya berada di kedudukan ke-11 serta ditunjukkan jalan keluar dari Piala FA.

12977240_619201088229401_5282513851826662489_o

Karathu (kanan) merupakan seorang jurulatih cukup dikenali dalam dunia bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, kenangan indah masih dapat direkodkan apabila mereka mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia sebelum disingkirkan juara keseluruhan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kedudukan akhir berkenaan sudah tentu diharapkan dapat diperbaiki musim ini, lebih-lebih lagi dalam kempen Liga Super dengan mereka masih bergelut setakat tiga perlawanan.

Perkara itu turut dirasakan Karathu yang berpendapat skuad TBG perlu memberikan standard terbaik untuk setiap aksi sekiranya mahu berada di tangga lebih baik.

"Aksi dalam liga berbeza, anda perlu bermain di 'home' dan 'away'. Jadi, anda perlu bermain dengan strategi dan taktik yang cukup bagus," katanya lagi.

Karathu boleh diangkat sebagai salah seorang jurulatih paling sinonim dengan Perak kerana pernah mengendalikan kelab berkenaan sebanyak empat kali sepanjang kariernya.

Selain setia dengan skuad TBG, pengendali yang kini berusia 81 tahun itu juga pernah membantu mereka menjulang Piala FA 1990 serta mara ke pusingan akhir Piala Malaysia 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram