Tak boleh main PS antara 5 peraturan 'gila' Itali demi julang Euro 2024


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Skuad Itali ketika ini sedang sibuk menjalani persiapan dalam misi mempertahankan gelaran mereka. — Agensi

KEHANGATAN Kejohanan Euro 2024 semakin dirasai dengan kesemua 24 negara mahu membawa pulang trofi untuk mengangkat nama mereka sebagai pasukan terbaik di benua tersebut.

Debaran sudah tentu sangat dirasai Itali yang menjuarainya pada edisi empat tahun lalu dengan ia merupakan kali kedua skuad Gli Azzurri merekodkan pencapaian sedemikian.

Jadi, dalam misi mempertahankan gelaran, pelbagai usaha dan rancangan sudah direncanakan pihak kejurulatihan, lebih-lebih lagi apabila mereka berada dalam Kumpulan B di samping pencabar utama, Sepanyol.

BACA LAGI: Kelab Liga M wajar belajar dengan 'JDT Singapura' cara tarik pemain import berkualiti dari Eropah

BACA LAGI: Apa khabar pemain abroad? Ada hilang kelab, ada pula diburu pasukan Eropah

thumbs_b_c_af6b2368297d5e139159cfb23bd36172

Cabaran besar menanti Itali dalam saingan Kejohanan Euro 2024. — Agensi

Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila terdapat laporan bahawa pengendali pasukan, Luciano Spalletti mengambil langkah drastik dalam edisi kali ini.

Dalam usaha memastikan anak-anak buahnya tidak terganggu sepanjang kejohanan, jurulatih berusia 65 tahun itu menetapkan lima peraturan ketat.

Salah satu daripadanya merupakan larangan buat pemain untuk memakai fon kepala ketika ucapan pasukan sedang dibuat selain menghalang penggunaannya semasa bersiar-siar sekitar Itali.

"Saya tidak mahu melihat sesiapa memakainya ketika berjalan di Covercino (pekan di Itali). Karier mereka akan diteruskan, tetapi bukan dengan saya," katanya pada hari pertama dilantik.

Di samping itu, bekas pengendali Napoli itu turut menghalang pemain skuad antarabangsa Gli Azzurri daripada membawa alat permainan Play Station ke kem latihan.

609dee260088454fbff7e2584a3816c9

Spalletti dikenali dengan reputasi yang cukup tegas sebagai jurulatih. — Agensi

Ini kerana dia tidak mahu pemainnya membuang masa pada waktu malam dan tidak mendapatkan rehat secukupnya semasa perlawanan mahupun pada hari latihan.

Spalletti turut dilaporkan menghalang penggunaan telefon bimbit ketika sesi makan tengahari dan malam dengan mereka dipesan supaya memanfaatkan waktu tersebut untuk mengukuhkan persahabatan.

Namun, gurauan berlebihan antara satu sama lain juga tidak dibenarkan kerana setiap masa di padang latihan boleh dianggap cukup bermakna sekiranya mereka mahu mengekalkan kejuaraan.

Peraturan ketat terakhir yang ditetapkan terhadap juara empat kali Piala Dunia itu adalah kesemua daripada pemain perlu menetapi masa ketika pertemuan.

Berdasarkan garis panduan ditetapkan, ia jelas membuktikan bahawa Spalletti sememangnya mahu mengukuhkan legasinya dalam bola sepak Itali.

Meskipun pernah mencipta nam dengan Napoli, peluangnya untuk terus diingati terhidang apabila mereka berpeluang berpeluang mempertahankan kejuaraan Kejohanan Euro.

Selain berada dalam kumpulan di samping Sepanyol, Itali turut diundi di samping Albania serta Croatia dengan ia boleh dikatakan sebagai kumpulan maut kali ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram