Siaran percuma untuk rakyat, syarikat gergasi berebut hak tajaan Euro 2024


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Trofi yang akan direbut oleh 24 pasukan pada kejohanan Euro 2024. — Agensi

KIRA-KIRA sebulan lagi, penyokong bola sepak dunia akan disajikan dengan saingan Piala Eropah 2024 atau Euro 2024 dengan Jerman bakal menjadi tuan rumah kejohanan yang bakal berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai depan.

Kini, Euro 2024 yang pastinya dinantikan akan lebih mudah untuk disaksikan penyokong apabila beberapa syarikat gergasi negara difahamkan berminat untuk menaja sepenuhnya siaran langsung kejohanan itu.

Difahamkan niat baik beberapa syarikat swasta berkenaan adalah bagi memastikan semua lapisan rakyat Malaysia menontonnya secara percuma terutama untuk kumpulan B40 yang tidak mempunyai akses televisyen swasta berbayar tempatan untuk menikmati kejohanan empat tahun sekali itu.

BACA LAGI: Piala Thomas, EURO antara 4 sukan dinanti-nantikan sepanjang 2024

BACA LAGI: [VIDEO] Juara Euro 2016, momen Sir Alex Ferguson menanti CR7 undang hiba penyokong bola sepak

Menurut sumber, satu surat tunjuk minat akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Komunikasi serta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai hasrat itu.

"Syarikat swasta telah menunjukkan minat yang ingin mengambil tajaan untuk Euro 2024, supaya RTM boleh beri kepada rakyat Malaysia menonton secara percuma daripada berbayar.

"Beberapa syarikat swasta telah mula menujukkan minat dan dalam masa terdekat ini, akan mengeluarkan surat tunjuk minat kepada pihak RTM untuk menaja dan beli siaran ini yang sudah tentunya bukan murah.

"Ia sebenarnya dapat menjimatkan perbelanjaan pihak kerajaan kerana selepas ini difahamkan Sukan Olimpik juga menelan kos yang tinggi bagi mendapatkan hak siaran langsung.

"Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia yang dalam kelompok B-40 boleh menikmati siaran percuma Euro di RTM sekali gus menyemarakkan bahang Euro kali ini," katanya kepada Majoriti.

ISI DALAM

Senarai perlawanan Euro 2024 yang akan bermula bulan depan. — Agensi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro namun beliau perlu merujuk terlebih dulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung perkara itu.

Beliau mengakui kejohanan berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutamanya kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

Ujar sumber lagi, tajaan berkenaan cukup besar dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan sesen pun duit untuk mendapatkan hak penyiaran itu.

"Syarikat gergasi Lembah Klang itu beri jaminan akan menampung kesemua kos dan bayaran hak penyiaran. Pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan langsung duit untuk mendapatkannya.

"Dana berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan yang lain atau mendapatkan hak siaran Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya percaya rakyat pastinya gembira dapat mengisi hari-hari sepanjang bulan Jun hingga Julai ini dengan menonton Euro 2024 secara percuma di saluran RTM," katanya.

EURO

Itali muncul juara EURO 2020 selepas menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti. — Agensi

Terdahulu, isu hak penyiaran Euro 2024 dibangkitkan oleh sebuah portal tempatan susulan luahan rata-rata peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa keterujaan dan minat untuk menonton aksi kejohanan berprestij berkenaan.

Namun kebanyakan penyokong meluahkan di media sosial mahukan pihak kerajaan menyiarkannya secara percuma kerana tidak mampu melanggan siaran perlawanan yang disiarkan oleh sebuah televisyen swasta berbayar tempatan.

Saingan Euro 2024 dijangka berlangsung sengit membabitkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan Itali akan mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi edisi lalu.

Sebelum ini, skuad Gli Azzurri muncul juara Euro 2020 selepas menewaskan England dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-1 dalam aksi final di Stadium Wembley, England.

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram