"Faisal, you are not alone (anda tidak bersendirian)."
Itu kata-kata semangat yang dilemparkan legenda bola sepak negara, See Kim Seng terhadap tonggak Selangor FC, Faisal Halim yang kini dalam proses pemulihan selepas mengalami serangan asid pada 5 Mei lalu.
Faisal menanggung kecederaan lecur tahap 4 akibat disimbah asid oleh dua individu bermotosikal ketika pemain berusia 26 tahun itu berkunjung ke pusat beli belah di Petaling Jaya bersama keluarganya.
BACA LAGI: Siaran percuma untuk rakyat, syarikat gergasi berebut hak tajaan Euro 2024
BACA LAGI: Pergerakan masih diekori, Akhyar Rashid disaran pasang 'bodyguard'
Simbahan ahan kimia itu menyebabkan beberapa bahagian badan Faisal mengalami lecur yang teruk sehingga memerlukan rawatan tampalan kulit yang diimport khas dari Belgium selain berkemungkinan menggunakan kulit pahanya sendiri.
Dia akan menjalani tiga pembedahan 'split skin graft' pada minggu depan selepas kejayaan tiga siri pembedahan sebelumnya.
Susulan insiden tragis itu, ramai pihak menyuarakan rasa simpati terhadap bintang kelahiran Pulau Pinang itu termasuk Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah ramai yang menggesa pihak berkuasa segera memburu suspek yang terlibat dalam kejadian itu, selepas satu lagi insiden rompakan berlaku terhadap pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid dua hari sebelumnya.
Akhyar mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan akibat dipukul dengan objek keras.
Seorang lagi pemain JDT, Safiq Rahim turut diserang individu tidak dikenali dua hari selepas kejadian serangan Faisal, sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai terhadap trend serangan yang dipercayai bermotif menjadikan pemain bola sepak sebagai sasaran.
Peka dengan keadaan semasa yang berlaku terhadap tiga bintang tersebut terutamanya Faisal, Kim Seng berharap pihak berkuasa dapat menangkap pelaku yang sanggup bertindak kejam mahu memusnahkan karier pemain sayap kebangsaan itu.
"Tangkap segera 'pengganas ini', hukum mereka seberat-beratnya," katanya kepada Majoriti.
Kim Seng juga berasa terkejut dengan insiden itu kerana ia berlaku di depan keluarga Faisal, sekali gus menyifatkan pelaku seperti mempunyai motif tertentu sehingga nekad melakukan serangan sedemikian.
"Benda-benda ini sepatutnya tak boleh berlaku, kenapa perlu buat sampai macam itu?
"Mereka (pelaku) seperti mahu musnahkan karier Faisal. Ini sudah melampau," katanya.
Namun Kim Seng tetap percaya Faisal mampu bangkit lebih cemerlang akibat insiden yang hampir memusnahkan kerjayanya.
See Kim Seng
Malah dia turut berharap orang ramai terus mendoakan Faisal untuk kembali sembuh seperti sedia kala kerana ramai mahu melihat bintang Selangor itu beraksi semula di atas padang.
"Ini merupakan satu cubaan (ujian) yang besar buat Faisal dan keluarga. Don't give up (jangan mengalah) kami bersama anda.
"Saya berdoa agar Faisal kembali pulih dan bangkit semula dengan lebih kuat," katanya mengulas sama ada insiden itu akan memberi kesan terhadap prestasi Faisal selepas ini.
Kim Seng pernah beraksi bersama Selangor, KLFA dan Negeri Sembilan ketika zaman semi pro Liga Malaysia, sebaris dengan arwah Mokhtar Dahari, Dollah Salleh, Azman Adnan, Fandi Ahmad serta ramai lagi legenda bola sepak tanah air.
Bekas pemain berusia 61 tahun itu juga menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya dengan mengharungi siri perlawanan persahabatan dan kejohanan Piala Merdeka pada hujung 80-an dan awal 90-an.
Anak kelahiran Banting itu memulakan karier bersama Selangor FA pada 1984 dan sebelum menyertai Kuala Lumpur FA pada 1986 sehingga 1992.
Dia kemudiannya menyertai Negeri Sembilan FA setahun kemudian sebelum mengambil keputusan bersara pada 1994.
Sepanjang kariernya, Kim Seng merangkul empat trofi Piala Malaysia yang dicapai menerusi kemenangan hatrik bersama KLFA pada tahun 1987, 1987 dan 1989 dan satu kejayaan bersama Selangor pada 1984.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram