Berita baik, syarikat konglomerat terbesar negara selangkah dapat hak tajaan Euro 2024


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Trofi yang akan direbut oleh 24 pasukan pada kejohanan Euro 2024. — Agensi

SEBUAH syarikat gergasi negara yang sebelum ini dikhabarkan ingin menaja hak penyiaran kejohanan bola sepak, Piala Eropah 2024 atau Euro 2024 difahamkan sedang dalam proses akhir untuk menjayakannya.

Selepas beberapa penambahbaikan dalam dokumentasi selesai, ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi syarikat gergasi negara berkenaan difahamkan sebulat suara akan menyerahkan surat tunjuk minat sebelum diserahkan kepada pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Selasa.

Menurut sumber syarikat, kesemua Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi cukup teruja untuk memastikan hak siaran langsung Euro 2024 dapat dibawakan secara percuma buat jutaan rakyat Malaysia dengan ia akan jadi alternatif untuk mereka menikmatinya tanpa perlu mengeluarkan wang ringgit.

BACA LAGI: Siaran percuma untuk rakyat, syarikat gergasi berebut hak tajaan Euro 2024

BACA LAGI: Piala Thomas, EURO antara 4 sukan dinanti-nantikan sepanjang 2024

Kata wakil syarikat itu, beberapa tambahan maklumat sudah dimasukkan dalam kertas dokumentasi berkenaan dan akan dihantar pada Selasa sebelum disusuli satu kenyataan media selepas untuk hebahan kepada orang ramai.

"Pada hari ini (Isnin), ahli lembaga pengarah syarikat gergasi bersama pengerusi telah memberi kelulusan akhir untuk penajaan ini. Ada beberapa penambahbaikan dalam surat dan dokumentasi sebelum dihantar kepada pihak RTM, dan ia akan diserahkan pada esok (Selasa).

"Selepas itu barulah satu kenyataan media akan dikeluarkan. Perkara ini (kenyataan media) akan berlaku selewat-lewatnya, kalau tak ada aral melintang esok (Selasa) akan dimaklumkan.

"Kelewatan sehari ini kerana ada sedikit perubahan dalam dokumentasi," kata sumber syarikat itu sekali gus pemakluman media yang sepatutnya dirancang pada Isnin terpaksa ditunda esok.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan syarikat konglomerat terbesar negara difahamkan berminat untuk menaja sepenuhnya siaran langsung kejohanan Euro 2024 bagi memastikan semua lapisan rakyat Malaysia terutama kumpulan B40 menontonnya secara percuma.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut memberitahu pihaknya mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro namun beliau perlu merujuk terlebih dulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung perkara itu.

PUTRAJAYA, 7 Dis -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di kementerian itu hari ini.Fahmi Fadzil memaklumkan nama kementerian diterajuinya kini dikenali Kementerian Komunikasi dan Digital.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARAPUTRAJAYA, Dec 7 -- Communications and Digital Minister Fahmi Fadzil at a press conference after the post-cabinet meeting here today.Fahmi Fadzil announced that his ministry is now known as Communications and Digital Ministry.--fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHT RESERVED

Fahmi perlu merujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi sebelum memutuskan untuk mendapatkan hak siaran Euro.

Beliau mengakui kejohanan berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutamanya kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

Saingan Euro 2024 dijangka berlangsung sengit membabitkan 24 pasukan bertanding, termasuk juara bertahan Itali akan mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi edisi lalu.

Sebelum ini, skuad Gli Azzurri muncul juara Euro 2020 selepas menewaskan England dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-1 dalam aksi final di Stadium Wembley, England.

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan sepanjang sepak mula dari 14 Jun hingga 14 Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram