Kelab Liga M wajar belajar dengan 'JDT Singapura' cara tarik pemain import berkualiti dari Eropah


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Zivkovic pernah menyertai Sheffield United pada musim 2018/19. — Agensi

LION City Sailors (LCS) mengumumkan pemain import baharu dari Jerman, Lennart Thy sebagai penyerang pasukan bagi mengharungi saingan Liga Singapura dan kejohanan Asia musim ini.

Pemain berusia 32 tahun itu mempunyai nama di Eropah dengan menyertai beberapa pasukan utama German seperti Werder Bremen dan FC St. Pauli.

Kehadiran Lennart Thy ke LCS sekali lagi mencipta sejarah baharu buat pasukan itu selepas berjaya menarik minat beberapa pemain ternama Eropah.

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

BACA LAGI: Tak dipanggil Kim Pan-gon, Arif Aiman 'terbang tinggi' tercalon Pemain Muda Terbaik Asia

Menjadi persoalan bagaimana 'JDT Singapura' itu berjaya menarik minat pemain-pemain Eropah untuk beraksi dalam Liga Singapura yang jauh berbeza kompetitifnya dengan negara ini.

Ini bukan pertama kali The Sailors berjaya menarik minat bintang Eropah dan sudah ada beberapa pemain pernah mewakili wakil Singapura itu di pentas Asia.

Kelab-kelab Liga M wajar belajar daripada LCS cara untuk menarik minat pemain-pemain berkualiti tinggi ini ke Liga Super agar dapat mewujudkan saingan yang lebih baik.

Dengan ini Majoriti senaraikan tiga pemain yang mempunyai nama di Eropah pernah menyertai Lion City Sailors:

1. Maxime Lestienne

Bekas pemain nasional Belgium, Maxime Lestienne menjadi antara satu-satunya bintang import paling lama bersama LCS.

Rekod Maxime dalam Liga Singapura tidak boleh dipertikaikan lagi apabila dia merekodkan 44 jaringan dan 60 bantuan gol dalam 72 penampilan bersama pasukan itu.

Pemain berusia 31 tahun itu mencipta nama dalam liga utama Belgium apabila menjaringkan 64 gol serta 48 bantuan gol dalam 272 penampilan.

Bukan sahaja beraksi di Belgium, Maxime pernah mewakili beberapa kelab ternama Eropah seperti Rubin Kazan (Rusia), Genoa (Itali), Malaga CF (Sepanyol) dan PSV Eindhoven (Belanda).

2. Richairo Zivkovic

Pernah tersenarai antara '50 wonderkid' di Eropah, Richairo Zivkovic menjadi pemain terbaharu meninggalkan LCS selepas cemerlang bersama kelab itu musim lalu.

Zivkovic berjaya merekodkan 15 jaringan dan tiga 'assist' dalam 19 perlawanan bersama LCS dalam semua kejohanan yang disertai pasukan itu.

Bekas pemain nasional Curacao itu juga berpengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Sheffield United pada musim 2018/19.

Rekod jaringan yang menakjubkan, Zivkovic berjaya menghasilkan 120 jaringan dan 20 bantuan gol dalam 350 penampilan bersama 11 pasukan.

Musim terbaik Zivkovic ketika bersama skuad muda Ajax apabila dia menjaringkan 27 gol dan tiga 'assist'.

3. Diego Lopes

LCS pernah mengeluarkan jutaan ringgit bagi mendapatkan khidmat pemain Brazil, Diego Lopes yang ketika itu masih beraksi dengan kelab Portugal, Rio Ave pada musim 2020/21.

Lopes banyak menikmati karier bola sepaknya di negara Eropah seperti Portugal, Turkiye dan Greece.

Benfica merupakan kelab paling besar pernah diwakili Lopes sepanjang khidmatnya di Portugal kerana dia merupakan graduan daripada kelab itu.

Musim ini, Lopes meninggalkan LCS untuk menyertai kelab China, QD Hainiu dan sudah tampil dalam lapan perlawanan bersama pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram