NASIB boleh dikatakan tidak menyebelahi mana-mana pasukan ketika Penang FC menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Kebuntuan jentera serangan menyaksikan perlawanan itu berakhir tanpa sebarang jaringan dengan hanya satu mata berjaya dibawa pulang kedua-dua kelab berkenaan.
Bagaimanapun, bagi penyokong, aksi tersebut beberapa kali menimbulkan debaran dengan percubaan demi percubaan dilepaskan selain rentak permainan cergas ditonjolkan.
BACA LAGI: Berita baik, syarikat konglomerat terbesar negara selangkah dapat hak tajaan Euro 2024
BACA LAGI: Tempoh 72 jam penentu Faisal 'discharge' lebih awal atau sebaliknya
Aksi di Stadium Bandaraya berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, tidak hairanlah apabila masing-masing dapat pulang dengan senyuman terukir di wajah dan perasaan positif itu diteruskan ke platform media sosial.
Malah, keterujaan itu turut dirasai pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pembantunya, E Elavarasan yang hadir ke stadium untuk menonton perlawanan secara langsung.
Manakan tidak, aksi bertenaga dipamerkan sepanjang 90 minit permainan membuatkannya tidak perlu gusar menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan awal bulan depan.
Ini kerana jurulatih dari Korea Selatan tersebut dapat menilai beberapa pemain yang dirasakan sesuai untuk diserap bagi kedua-dua pertembungan penting berkenaan.
Melihat kepada pemain diturunkan, terdapat tiga nama yang pastinya mencuri perhatian Pan-gon dan sekurang-kurangnya diletakkan dalam senarai bersedia bagi perlawanan akan datang itu.
1. Adib Raop
Sepanjang beberapa musim beraksi buat skuad Harimau Kumbang, Adib Raop seakan-akan sukar mendapatkan rentak kerana dia terpaksa beraksi dalam pelbagai posisi.
Selain perlu beraksi sebagai bek kiri, pemain 24 tahun itu pernah diturunkan sebagai penyerang sayap dengan pendekatan demikian pernah diambil pengendali terdahulu.
Namun, sejak Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilantik ketua jurulatih Penang FC penghujung musim lalu, dia mula menampilkan persembahan lebih baik sebagai seorang pemain pertahanan.
Adib (kanan) mempunyai kualiti untuk melakukan hantaran berbahaya. — Facebook/Penang FC
Kebolehannya untuk membantu serangan ketika diperlukan menjadikannya seseorang cukup relevan dalam perancangan taktikal pasukan setakat dua perlawanan ini.
Jadi, sekiranya Harimau Malaya memerlukan seseorang dengan profil beraksi sepertinya, Adib boleh diserap ke dalam skuad kebangsaan bagi perlawanan akan datang.
Meskipun sudah memiliki Corbin Ong, Declan Lambert dan Daniel Ting sebagai bek kiri, kebolehan Adib beraksi sebagai pemain sayap menaikkan lagi tarikan terhadapnya.
Malah, kualiti dimilikinya dalam mengambil sepakan percuma juga boleh memberikan satu dimensi baharu dalam gerakan serangan Harimau Malaya meskipun masih perlu digilap.
2. Alif Zakaria
Tidak boleh disangkal bahawa Alif Zakaria merupakan salah seorang pertahanan tempatan paling konsisten sekiranya dilihat kepada kira-kira lima tahun kebelakangan ini.
Selain sukar dikekang lawan, pemain kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu juga memiliki kepantasan sebagai 'senjata rahsia' untuk membantu serangan skuad Sang Penyu.
Namun, musim ini, pertahanan sayap itu membawa dirinya ke tahap baharu apabila beraksi dengan cukup baik di posisi bek kanan yang sedikit janggal buatnya.
Alif (kiri) diturunkan sebagai bek kanan buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Kecederaan dialami Azam Azmi Murad menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu terpaksa diberikan kepercayaan berbeza, namun dia tidak berdepan sebarang isu sejak diturunkan.
Meskipun Terengganu FC memiliki Safwan Mazlan yang boleh diturunkan di posisi tersebut, pengalaman dimiliki Alif menjadikannya pilihan utama pengendali, Tomislav Steinbruckner.
Jadi, dengan Azam Azmi yang merupakan pilihan kedua dalam Harimau Malaya tidak dapat diturunkan, terdapat kemungkinan Pan-gon perlu memberikan peluang buat Alif.
3. Syamer Kutty Abba
Beberapa tahun kebelakangan ini, Harimau Malaya berdepan isu di bahagian tengah apabila pasukan itu sering berdepan kesukaran dalam mematahkan serangan lawan.
Oleh itu, untuk membaiki masalah terbabit, Pan-gon boleh membawa masuk pemain pinjaman Penang FC, Syamer Kutty Abba yang baru-baru ini kembali berada dalam radar bola sepak tanah air.
Dia yang bertahun-tahun bergelut dengan isu kecergasan kembali untuk pulang ke negeri kelahirannya dari pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Syamer boleh dipanggil dalam skuad kebangsaan untuk aksi bulan depan. — Facebook/Penang FC
Keputusan diambil itu membuahkan hasil selepas pemain berusia 26 tahun berkenaan mempamerkan aksi cukup baik dalam membantu skuad Harimau Kumbang mencatatkan dua 'clean sheets' berturut-turut.
Kehadiran Syamer sudah tentu amat membantu skuad Harimau Malaya selepas ini dengan kebolehannya menghidu ancaman lawan cukup penting dari segi pertahanan.
Tetapi, sekiranya Pan-gon lebih cenderung untuk mengambil pendekatan menyerang, pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih boleh diletakkan di bangku simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram