'Kempunan mata penuh', Haziq Nadzli antara 3 bintang kelab kerdil resahkan Kedah, Pahang dan Terengganu


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Haziq mempamerkan aksi akrobatik ketika menepis percubaan pemain lawan dalam aksi persahabatan. — Facebook/Perak FC

SELEPAS kejohanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dibatalkan, tumpuan penyokong bola sepak tanah air akhirnya akan beralih kepada tiga perlawanan Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

Antara pasukan yang terlibat pada sepak mula pada Sabtu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang PDRM FC, Sri Pahang melayang kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan aksi antara Terengganu FC (TFC) serta Perak FC.

Jika dilihat pada rekod lampau enam pasukan itu, ia boleh disimpulkan bahawa ketiga-tiganya adalah perlawanan antara kelompok heavyweight (Kedah, Pahang, Terengganu) dan kelab kerdil iaitu KDN FC, Sang Saka Biru dan skuad Seladang.

BACA LAGI: Bintang buangan Penang FC dilabel hero KDN FC lepas rencatkan persiapan Terengganu

BACA LAGI: Ledak gol lawan India, penyerang muda Perak perlu diberi kepercayaan kemudi barisan hadapan TBG

Meskipun tiga pasukan berkenaan dikategorikan sebagai pasukan pertengahan dan bawahan liga tetapi jangan terkejut jika mereka berhasil meraih kemenangan dalam aksi pertama Liga Super musim ini.

Melihat kepada barisan pemain dari setiap pasukan itu, ada dalam kalangan mereka berpotensi menjadi ancaman besar kepada kelab gergasi tersebut dengan ia dijangka akan memberi saingan sengit pada aksi pertama liga.

Menjelang perlawanan hari pertama Liga Super ini, Majoriti senaraikan tiga pemain dari kelab kerdil yang berpotensi memberi penderitaan kepada Kedah, Terengganu dan Pahang;

1) Chidi Osuchukwu (PDRM FC)

chidi

Chidi merupakan salah satu tonggak utama untuk skuad kebangsaan Nigeria B-20. Facebook/PDRMFC

Skuad Sang Saka Biru terkenal dengan kebolehan mencari pemain berbakat di bawah radar dan ia terbukti apabila musim lepas mereka membawa pertahanan kental dari Nigeria, James Okwuosa dan pemain tengah dari Jordan iaitu Fadi Awad.

Kemampuan PDRM menghidu bakat import berlaku lagi apabila merekrut Chidi Osuchukwu dari Nigeria sebagai perancang baharu mereka di posisi tengah bagi bergandingan bersama Fadi pada musim baharu ini.

Chidi bukan sebarang pemain apabila sebelum ini dia merupakan salah satu tonggak utama untuk skuad kebangsaan Nigeria Bawah 20 (B-20) tahun di kejohanan Piala Dunia B-20 pada tahun 2013.

Bersama Nigeria pada kejohanan berkenaan, bekas pemain kelab Kazakhstan, FK Aksu membantu mereka layak ke pusingan 16 terbaik sebelum pasukan itu disingkirkan oleh Uruguay menerusi keputusan 1-2.

Chidi dilihat akan berperanan sebagai seorang perancang utama dan dia dipercayai mampu mencorakkan persembahan skuad Sang Saka Biru dalam aksi menentang pasukan kendalian Nafuzi Zain pada Sabtu.

2) Chadrack Muzungu (KDN FC)

M

Muzungu (kiri) menjadi pemain termahal yang dimiliki KDN FC musim depan. — Agensi

Bekas penyerang antarabangsa DR Congo, Chadrack Muzungu hadir dengan reputasi sendiri ke saingan Liga M apabila mempunyai pengalaman bersama pasukan negaranya dan beraksi dengan pelbagai liga di Eropah seperti Almeria B dan Boulegne.

Kemuncak kariernya ketika di Liga Morocco bersama RS Berkane pada musim 2021 apabila Muzungu mendapat kepercayaan dengan diturunkan sebanyak 47 perlawanan dan menjaringkan lebih 15 gol dan 10 assist.

Malah, pemain yang mempunyai tanda harga setinggi 500,000 Euro (RM2.5 juta) itu berhasil telah membantu RS Berkane muncul juara Piala Liga Morocco sebanyak 2 kali, kejuaraan Piala Konfedarsi CAF dan Piala Super CAF pada 2022.

Chadrack berusia 26 tahun itu merupakan pemain yang versatil di bahagian serangan kerana mampu beraksi di posisi sayap kiri serta kanan dan penyerang kedua. Ia jelas memberi kelebihan kepada bahagian serangan KDN FC.

Selain seorang pemain versatil, Chadrack juga mempunyai larian yang lincah dan memilik kaki kanan yang deras apabila sering melakukan rembatan menggunakan kekuatannya itu. Ia jelas boleh membuatkan pertahanan lawan kucar-kacir.

3) Haziq Nadzli (Perak FC)

HAZIQ

Haziq diharapkan mampu mengukuhkan benteng pertahanan skuad TBG. Facebook/Perak FC

Perpindahan sementara penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli memberi senyuman kepada penyokong The Bos Gaurus (TBG) dengan dia dilihat seperti jawapan tepat kepada masalah benteng terakhir Perak.

Haziq yang pernah merangkul banyak gelaran bersama JDT sejak 2017 dan dikhabarkan menyertai Perak secara pinjaman dari JDT bagi tempoh semusim, antara sembilan pemain baharu skuad kendalian Yusri Che Lah setakat ini.

Skuad TBG membawa masuk dua penjaga gol baharu kerana rekod pertahanan mengecewakan musim lalu yang menyaksikan mereka dibolosi sebanyak 55 kali dalam Liga Super. Haziq dibawa masuk secara pinjaman dari JDT berdasarkan pengalaman dan kariernya.

Walaupun sudah lama terperap di bangku simpanan Harimau Selatan, Haziq membuktikan kualitinya. Ia terbukti ketika dia menepis tendangan penalti dari Sony Norde ketika aksi persahabatan bertemu Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram