CABARAN cuaca, lapangan golf yang sudah berusia 132 tahun antara ujian getir yang perlu diharungi lebih 80 pemain golf amatur wanita dalam Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Royal Selangor Golf Kelab (RSGC) pada 23 hingga 25 Julai depan.
Dengan jangkaan fenomena La Nina yang bakal melanda negara bulan depan, kekuatan mental dan fizikal para pemain bakal teruji selama tiga hari untuk merebut empat trofi utama kejohanan yang sudah memasuki edisi ke-47 itu.
Meneruskan edisi sebelumnya, empat kategori akan dipertandingkan dalam kejohanan ini iaitu Piala Tuanku Bahiyah (juara gross), Piala Toh Puan Norashikin (juara nett), Piala Datin Azian (juara gross berpasukan) dan Piala Clarissa Lee (juara nett berpasukan).
BACA LAGI: Dimiliki kerajaan negeri, TFC-Penang FC 'tidak bersalah' terima suntikan dana
Juara bertahan, Mirabel Ting antara nama besar yang sudah pasti akan turun dalam misi mempertahankan kejuaraan tahun lalu selain bakal menyaksikan penyertaan dari negara serantau seperti Australia, China, Jepun, India, Pakistan, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia.
Menariknya tentang kejohanan ini, penyertaan melibatkan pemain golf berbakat yang diiktiraf berdasarkan Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR), sekali gus menjadikan pertandingan ini mempunyai prestij dan kualiti tersendiri.
Empat trofi utama yang akan dipertandingan dalam Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RGSC ke-47.
Mirabel sendiri kini menduduki tangga ke-24 WAGR, berbanding di kedudukan 55 pada tahun lalu, hasil daripada penyertaan dalam kejohanan bertaraf tinggi seperti Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RGSC.
Maka tidak hairan, Pengerus Penganjur Kejohanan, Ai-leen Tan menyuarakan hasrat untuk meningkatkan lagi taraf kejohanan dengan menarik lebih ramai pemain ranking dunia WAGR.
"Dengan kehadiran pemain ranking dunia, kami harapkan taraf kejohanan ini juga akan meningkat. Penyertaan pemain amatur wanita Malaysia dan dari negara lain juga akan memastikan matlamat kejohanan ini sebagai landasan penting memperkembangkan sukan golf di negara ini.
Pengerusi Penganjur Kejohanan Ai-leen Tan.
"Matlamat kami untuk menjadikan kejohanan ini acara serantau dalam beberapa tahun lagi," katanya pada sidang media pengumuman kejohanan itu di RSGC pada Rabu.
Dalam pada itu, Ai-leen berkata, sudah lebih 50 pemain mengesahkan penyertaan dengan 18 daripadanya merupakan peserta luar negara.
"Kita menyasarkan 80 pemain menyertai kejohanan kali ini dan jumlah itu mungkin bertambah kepada 90 peserta," katanya.
Dari segi penyertaan, RSGC memberi kelebihan kepada pemain di bawah WAGR dengan lima peserta awal di ranking Top 250 boleh menyertai kejohanan secara percuma, khidmat kedi percuma dan penginapan percuma selama lima malam.
Untuk pemain di ranking 251 dan ke 500, mereka boleh menikmati insentif penyertaan secara percuma manakala pemain di ranking 501 dan ke atas akan menerima 50 peratus diskaun yuran penyertaan.
Pengerusi Golf RSGC Ezani Datuk Abu Bakar.
Mengulas tentang persediaan RSGC berdepan cuaca yang tidak menentu pada hari kejohanan, Pengerusi Golf RSGC Ezani Datuk Abu Bakar, pihak kelab sentiasa bersedia untuk memastikan padang golf berusia 132 tahun itu berada dalam keadaan terbaik untuk menguji kemampuan para pemain.
Antaranya, Ezani berkata, RGSC akan memantau keadaan rumput terutamanya di green berada pada tahap kelajuan yang diharapkan iaitu antara 10.5 hingga 11.
"Bagi mengatasi isu cuaca panas, RSGC akan memastikan jumlah lokasi penyediaan air digandakan agar tahap dehidrasi pemain, kedi dan penonton tidak terjejas," katanya.
Pengarah Kejohanan, Dr. Chew Seng Poh.
Pengarah Kejohanan, Dr. Chew Seng Poh pula berkata, pihak kelab sudah menggunakan sistem yang lebih canggih untuk mengesan perubahan suhu sepanjang kejohanan.
"Jika suhu terlalu tinggi, kita akan tangguhkan kejohanan. Tahap suhu yang ditetapkan adalah kira-kira 42 darjah Celcius," katanya.
Kejohanan itu mendapat tajaan utama daripada MKH Berhad, Omar Salim dan AmBank sementara penaja bersama, Wellness Cosmetology Alliance Lab dan Royal Selangor International Sdn Bhd sebagai penaja rasmi piala kejohanan.
Pemain golf wanita yang berani menyahut cabaran di kejohanan ini boleh layari http://lao.thersgc.com/ untuk maklumat lanjut. Penyertaan kejohanan akan ditutup pada 15 Julai depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram