Percutian pulau beri ketenangan, 'check-out' 5 syurga tropika wajib dikunjungi di Malaysia


  • Bizz
  • Khamis, 06 Jun 2024

Keindahan dan kedamaian Sabah memberi perspektif tentang makna ‘syurga di bumi’.

DIANGGARKAN terdapat sebanyak 878 pulau di perairan Malaysia yang meletakkan negara ini di senarai keempat selepas Indonesia, Filipina dan Thailand dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai banyak pulau.

Menerusi maklumat Worlddata.info, pulau-pulau di Malaysia dikategorikan antara syurga tropika yang mempunyai pantai yang bersih, perairan biru dan hidupan marin yang pelbagai.

Secara tidak langsung ia menjadikan pulau-pulau Malaysia destinasi yang sempurna untuk percutian dan menerokai alam semula jadi. Pulau Sipadan, Sabah; Pulau Redang, Terengganu dan Pulau Tioman, Pahang adalah antara pulau yang popular dan menjadi tumpuan ramai.

BACA LAGI: Keindahan panorama alam beri ketenangan buat pemain golf

BACA LAGI: Muzium buah naga gergasi ikon pelancongan Sepang

Namun, ramai yang tidak mengetahui terdapat beberapa pulau lain di dalam negara ini yang turut mempunyai keindahan yang hampir sama dengan pulau-pulau berkenaan tetapi kurang diterokai kerana masih belum diketahui ramai.

Pulau Satang, Sarawak

Di dalam kawasan perlindungan marin pertama Bumi Kenyalang seluas 19,414 hektar iaitu Taman Negara Talang Satang, terdapat empat pulau dengan dua daripadanya ialah Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil.

Kebiasaannya, apabila disebut Pulau Satang ia cukup dikenali dalam kalangan pelancong sebagai lokasi penetasan penyu. Kepulauan itu sebenarnya mempunyai terumbu karang cetek yang menjadikannya sesuai untuk aktiviti berenang di permukaan air atau selam snorkeling.

Selam skuba juga dibenarkan, tetapi hanya di zon yang ditetapkan. Namun, anda perlu ditemani Renjer Perbadanan Perhutanan Sarawak sepanjang aktiviti berkenaan.

Untuk ke Pulau Satang, anda perlu menaiki bot selama 45 minit dari Pantai Damai menerusi Jeti Kelab Bot Sarawak atau Jeti Telaga Air. Penginapan tidak disediakan dan anda hanya boleh menikmati lawatan sehari ke pulau berkenaan.

Pulau Bohey Dulang, Sabah

Pulau ini menjanjikan kelainan dengan aktiviti wajib dilakukan adalah mendaki ke puncak setinggi 353 meter (m).

Laluan sepanjang 700m mengelilingi pulau mengambil masa sekitar 15 hingga 40 minit untuk sampai ke puncak, bergantung kepada kemampuan anda mendaki.

Segala penat lelah pendakian akan berakhir dengan kepuasan pemandangan taman laut yang menakjubkan termasuk lagun yang terbentuk oleh bekas kawah gunung berapi.

Pulau yang terletak di perairan Semporna ini boleh diakses melalui bot dari Jeti Semporna, yang akan mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan jarak kira-kira 25 kilometer (km).

Pulau Tenggol dianggap 'syurga' untuk aktiviti skuba.

Pulau Tenggol dianggap ‘syurga’ untuk aktiviti skuba.

Pulau Tenggol, Terengganu

Bagi pencinta alam, mereka akan mendapati Pulau Tenggol sebagai lokasi yang menarik untuk dikunjungi kerana ia menawarkan keajaiban di dalam air dan juga di darat.

Pulau berbatu kecil yang boleh diakses dengan bot dari Jeti Kuala Dungun, adalah sebahagian daripada empat gugusan pulau (Tenggol, Redang, Perhentian dan Kapas) yang membentuk Taman Laut Terengganu.

Gugusan Pulau Tenggol itu terdiri daripada Pulau Nyireh, Pulau Tokong Timur, Pulau Tokong Talang, Pulau Tokong Burung and Pulau Tokong Kemudi.

Pulau berbentuk seakan-akan buaya itu adalah syurga bagi penyelam bukan sahaja kerana ekosistem marinnya yang berkembang pesat tetapi juga disebabkan ia mempunyai lebih daripada 20 tapak selaman untuk diterokai.

Selain itu, Pulau Tenggol juga rumah kepada hutan simpan yang berusia lebih 200 tahun. Jika anda suka melakukan penerokaan laut dan darat, maka ini adalah destinasi untuk anda.

Pulau Harimau, Johor

Bentuk pulau yang seakan-akan harimau yang sedang tidur menjadikan pulau yang terletak di Mersing ini dinamakan Pulau Harimau. Hanya 30 minit masa yang diperlukan untuk sampai ke pulau ini dari Jeti Mersing.

Keindahan cukup terserlah menerusi laluan di dalam gua dengan pengunjung akan menemui sebuah lagun dengan air biru kebiruan yang sejuk sesuai untuk aktiviti berenang.

Perairan pulau yang jernih dan ekologi bawah air yang pelbagai juga menjadikan aktiviti snorkeling yang menyeronokkan.

Kebiasaannya pelancong yang mengambil pakej lawatan sehari bukan sahaja berpeluang menikmati keindahan Pulau Harimau sahaja, malah pulau lain yang berdekatan termasuk Pulau Hujung yang terkenal dengan pantainya yang serba putih dan Pulau Tengah dengan satu-satunya penginapan di atasnya ialah Pusat Peranginan Batu Batu.

Selain turut dibawa ke Pulau Besar yang sesuai untuk mereka yang berkeluarga kerana terdapat banyak penginapan untuk bermalam; dan Pulau Rawa, sering disebut-sebut sebagai Maldives of Johor.

Pulau Giam adalah sebuah pulau kecil terletak di perairan Pulau Pangkor.

Pulau Giam adalah sebuah pulau kecil terletak di perairan Pulau Pangkor.

Pulau Giam, Perak

Pulau Giam adalah sebuah pulau kecil terletak di perairan Pulau Pangkor, iaitu destinasi pulau yang sangat popular di Perak.

Walaupun kecil ia adalah tempat yang digemari oleh pelancong yang gemar melakukan snorkeling dengan suasana tenang kerana mempunyai pengunjung yang agak terhad jika dibanding dengan pulau utama.

Untuk ke Pulau Giam, pengunjung perlu menaiki bot dari Pantai Teluk Nipah. Namun, seandainya melancong pada pertengahan Februari, anda berpeluang untuk berjalan kaki ke pulau berkenaan.

Pada masa itu paras air laut turun mendadak sehingga pengunjung boleh berjalan dengan mudah sepanjang 400m dari pantai ke pulau kecil berkenaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut permata tersembunyi Malaysia, sila layari www.malaysia.travel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram