Dimiliki kerajaan negeri, TFC-Penang FC 'tidak bersalah' terima suntikan dana


  • Podium
  • Isnin, 10 Jun 2024

Terengganu FC antara kelab swasta di Malaysia yang masih dimiliki oleh kerajaan negeri. — Facebook/TFC

NAMA Terengganu FC menjadi tumpuan selepas kelab itu menandatangani perjanjian bersama-sama sebuah syarikat iaitu XFOX Market Holdings Sdn. Bhd. pada Ahad.

Kerjasama itu menyaksikan XFOX bakal menjadi penaja platinum bagi kelab itu dengan logo mereka akan terpampang pada jersi Terengganu ketika mereka beraksi di Piala Shopee kelak sambil skuad Penyu menerima tajaan berjumlah RM1.5 juta.

Namun begitu, timbul reaksi yang kurang senang oleh penyokong mereka dengan kerjasama itu selepas info berkenaan syarikat tersebut yang sebenarnya dalam senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM) tersebar.

BACA LAGI: Terengganu tunaikan permintaan fans, Ivan Mamut boleh paksa Akinade keluar zon selesa

BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi Terengganu' antara 3 pemain 'one season wonder', sama seperti bintang EPL

Rata-rata, ada yang menyalahkan kerajaan negeri yang menguasai Terengganu sebagai pemilik saham utama kelab. Namun begitu, mereka tidaklah salah sepenuhnya.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri, dalam situasi Terengganu, kelab tersebut terletak dalam organisasi kerajaan negeri sebagai salah satu cabang jabatannya.

Oleh itu, kerajaan negeri sepatutnya boleh menyalurkan duit ke dalam kantung pasukan tanpa perlu mendapatkan tajaan daripada pihak yang meragukan.

"Jadi, dengan rujukan kepada kes ini kelab bola sepak boleh dimiliki oleh kerajaan negeri. Kelab berada dalam cabang jabatannya.

"Dengan itu kerajaan negeri boleh menyalurkan dana seperti pemilik lain memberikan duit kepada kelabnya," kata Zuraimi.

Situasi yang sama difahamkan turut berlaku di kem Pulau Pinang apabila Penang FC juga merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Jelas Zuraimi lagi, situasi tersebut sebenarnya membuka ruang buat penyokong untuk menekan kerajaan supaya mengambil kelab di negeri masing-masing masuk ke dalam organisasi mereka.

Ia dilihat sebagai safety net yang boleh mengelakkan kelab daripada mengalami masalah kewangan seperti isu tunggakan gaji.

"Kelab lain apa lagi? Pujuklah kerajaan negeri masing-masing ambil kelab bola sepak dan letak dalam organisasinya.

"Isyarat boleh tu dah ada," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram