PELUANG cukup tipis dimiliki skuad kebangsaan untuk layak ke Pusingan Ketiga dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan hanya satu aksi berbaki.
Mereka yang kini berada di tangga ketiga Kumpulan D memerlukan magis dalam perlawanan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Berdasarkan perkiraan, Harimau Malaya perlu mencatatkan kemenangan besar untuk mengatasi perbezaan gol sambil mengharapkan pasukan di tangga kedua, Kyrgyzstan mengalami kekalahan kepada pendahulu, Oman.
BACA LAGI: Negara jiran giat cari pemain warisan, FAM patut ‘naik gear’ supaya tak ketinggalan
BACA LAGI: Risau ancaman keselamatan, FAM tak pakai bas rasmi bawa pemain HM
Harimau Malaya meraih kemenangan tipis ketika berdepan Taiwan sebelum ini. — Facebook/FAM
Tetapi, isu tersebut seakan-akan tidak membebankan pengendali pasukan, Kim Pan-gon yang yakin bahawa peluang masih berpihak kepada skuad kebangsaan.
Meskipun hanya mencatatkan keputusan seri berdepan Kyrgyzstan baru-baru ini, dia percaya tiga mata penuh mampu direkodkan pada Selasa ini di hadapan penyokong sendiri.
Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, dia tahu akan kebolehan anak-anak buahnya yang pernah mencatatkan keputusan amat positif sepanjang berada di bawah bimbingannya.
Kenyataan berani yang dibuat itu bagaimanapun sememangnya tidak boleh disangkal memandangkan Pan-gon pernah menewaskan lawan mereka dengan skor cukup besar sebanyak tiga kali sepanjang tiga tahun mengendalikan skuad kebangsaan.
1. Harimau Malaya 10-0 Papua New Guinea
Tahun 2023 boleh dikatakan sebagai tahun terbaik buat skuad kendalian Pan-gon dengan beberapa keputusan membanggakan diraih dalam aksi kompetetif mahupun persahabatan.
Salah satu perlawanan terbaik sepanjang tempoh berkenaan adalah apabila Harimau Malaya menundukkan Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 20 Jun 2023.
Ketika itu, lawan skuad kebangsaan berada di ranking bawahan dunia sementara pasukan negara sedang berusaha bersungguh-sungguh dalam memperbaiki kedudukan.
Kemenangan 10-0 ke atas Papua New Guinea merupakan antara rekod terbaik. — Facebook/FAM
Jadi, perlawanan berkenaan menyajikan peluang cukup baik meskipun pasukan bimbingan Pan-gon memulakan aksi dengan agak perlahan apabila hanya satu gol terhasil pada babak pertama.
Namun, perubahan taktikal dengan kemasukan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi menyaksikan jentera serangan semakin baik dengan Arif sendiri meraih empat gol peribadi.
Kemenangan berkenaan kekal menjadi salah satu keputusan terbaik pernah diraih Harimau Malaya dalam era bola sepak moden dengan ramai penyokong mengharapkannya berulang pada Selasa ini.
Tetapi, ketiadaan Arif dan Faisal serta beberapa tonggak utama lain sudah tentu akan menyukarkan skor terbabit diulangi meskipun ia amat diperlukan demi kemaraan dari peringkat kumpulan.
2. Harimau Malaya 5-0 Laos
Prestasi Harimau Malaya boleh dikatakan tidak menentu dalam kejohanan disertai, termasuk Piala AFF apabila mereka sering bergelut setiap kali bertemu lawan yang sukar.
Bagaimanapun, sekiranya berdepan negara yang berada di kedudukan lebih rendah dalam ranking FIFA, skuad kebangsaan pasti memberikan persembahan terbaik.
Salah satu contoh terbaik adalah apabila mereka berdepan Laos dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF edisi 2023 dalam aksi yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Lee Tuck (kanan) dan Faisal merupakan watak utama dalam aksi berkenaan. — Facebook/FAM
Sekali lagi, Faisal Halim menjadi watak utama sepanjang berada di atas padang dengan dua gol direkodkan pemain Selangor FC untuk membantu skuad kebangsaan mencatatkan kemenangan 5-0.
Kejayaan itu turut membantu menghidupkan semangat untuk mara ke peringkat seterusnya, namun harapan untuk menjuarainya tidak tercapai selepas mereka tewas di peringkat separuh akhir.
Keputusan sedemikian boleh dikatakan sudah cukup bagi memastikan kemaraan ke pusingan ketiga kali ini dengan syarat Kyrgyzstan tewas sekurang-kurangnya 0-3 dalam perlawanan terakhir.
3. Harimau Malaya 4-1 Bangladesh
Antara kemenangan paling penting pernah direkodkan sepanjang tiga tahun Pan-gon bersama skuad kebangsaan adalah ketika Harimau Malaya menundukkan Bangladesh untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023.
Dalam pertemuan pada 14 Jun 2022, aksi antara dua pasukan itu dimulakan dengan gol daripada Safawi Rasid menerusi sepakan penalti untuk memastikan kelebihan berpihak kepada mereka.
Namun, selepas itu, Bangladesh mengikat kedudukan untuk memberikan kegusaran terhadap ribuan penyokong yang hadir untuk menyaksikan momen bersejarah.
Kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh memastikan slot negara ke Piala Asia 2023. — Bebas News
Tetapi, dengan Pan-gon terus menyuntik kepercayaan dalam anak-anak buahnya, mereka berjaya bangkit untuk memastikan kedudukan 4-1 hasil jaringan Dion Cools, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian 43 tahun Harimau Malaya untuk layak secara merit ke Piala Asia dengan penyokong masih sukar melupakan kenangan manis itu.
Peluang beraksi di Piala Asia masih boleh diulangi secara automatik sekiranya skuad kebangsaan mara ke pusingan seterusnya atau berada di kedudukan cemerlang dalam pusingan Kelayakan Piala Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram