Risau ancaman keselamatan, FAM tak pakai bas rasmi bawa pemain HM


  • Podium
  • Selasa, 28 Mei 2024

Skuad Malaysia terpaksa menaiki bas berbeza untuk tujuan keselamatan. — FAM

RENTETAN daripada kejadian yang menimpa pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal sebelum bermulanya musim baharu Liga Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan berbeza dalam menjaga keselamatan bintang Harimau Malaya.

Sebelum ini, Akhyar menjadi mangsa pukul dan samun di Kuala Terengganu sementara Faisal disimbah asid oleh lelaki tidak dikenali dekat Damansara, Selangor.

Selepas itu, kereta Safiq Rahim dipecahkan dan rumah Khuzaimi Piee dirompak dengan motosikalnya dilarikan.

BACA LAGI: Shamie Iszuan ada speed tapi fans lebih gemar supersub Sabah dan ubi JDT ganti Darren Lok

BACA LAGI: JDT, Terengganu dipetik jadi lawan sparring Harimau Malaya sebelum aksi kelayakan

445497926_1157208368685731_1704291706991336082_n

Pegawai polis turut ditempatkan dekat Wisma FAM. — FAM

Melihat kepada situasi membimbangkan ini, FAM mengambil pendekatan berbeza dalam menjaga keselamatan pemain menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Krygyz serta Chinese Taipei.

Ditambah dengan kem latihan pusat telah bermula, ramai pemain Harimau Malaya berkumpul di Wisma FAM, Kelana Jaya untuk melakukan persiapan. Sudah pasti, tahap keselamatan menjadi kerisauan FAM.

Oleh itu, FAM mengambil beberapa pendekatan dengan salah satunya tidak menggunakan bas rasmi pasukan untuk membawa pemain dari hotel penginapan ke padang latihan.

Selain daripada itu, kawalan keselamatan dekat Wisma FAM turut diperhebat dengan kehadiran pihak polis turut kelihatan di premis tersebut.

Seramai empat pegawai polis kelihatan di Wisma FAM dengan mereka perlu memastikan tidak ada anasir-anasir yang cuba menganggu skuad kebangsaan melakukan persiapan menjelang dua aksi penting.

Kedua-dua baki perlawanan kelayakan amat penting buat Harimau Malaya untuk memastikan tempat ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia terjamin. Harimau Malaya mesti menang kedua-dua perlawanan tersebut.

Selain itu, skuad Kim Pan-gon mahu mengesahkan dengan lebih cepat tempat mereka di Piala Asia 2027 kelak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram