Menang 9-0 aksi persahabatan, pilih Kampung Ku FC sebagai 'sparring partner' Sri Pahang undang kecaman


  • Podium
  • Isnin, 10 Jun 2024

Brundo (kiri) mencetak dua gol dalam aksi menentang Kampung Ku FC. — Facebook/SriPahang

SAINGAN Liga Super musim 2024/2025 buat masa ini berhenti seketika bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan yang kini sedang menghadapi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kesempatan cuti rehat antarabangsa itu digunakan sebaik-baiknya oleh beberapa pasukan Liga Super dengan mengadakan aksi persahabatan sebagai persediaan sebelum liga dibuka kembali dengan aksi pusingan 16 Piala FA.

Antara kelab yang mengadakan aksi persahabatan ialah Sri Pahang apabila mewujudkan perlawanan pemanas badan pada Ahad sebelum aksi pertama Piala FA mereka menentang Penang FC di Stadium Temerloh, Temerloh, Pahang pada 14 Jun ini.

BACA LAGI: Jurulatih Taiwan cabar ‘ekor’ Harimau Malaya penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil

BACA LAGI: Selain Irfan Fandi, ada 2 lagi bintang Sang Garuda dalam radar kelab Liga Super

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik oleh laman Facebook rasmi Sri Pahang, pasukan berkenaan menjemput juara Liga M5 Selangor, Kampung Ku FC untuk memantapkan taktikal serta memperkasa persiapan mereka.

Perlawanan berkenaan tampak memberi kegembiraan buat skuad kendalian Fandi Ahmad apabila skuad Tok Gajah dilaporkan mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas pasukan Lembah Klang tersebut.

Keputusan itu dikongsikan oleh salah seorang penyokong Pahang yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan dan pemain yang mencatatkan jaringan ialah Mykola Agapov, Kpah Sherman, Stefano Brundo, Alex dan David Rowley.

Walaupun keputusan positif diraih Sri Pahang, namun masih ada lemparan komen kurang enak diberikan kepada barisan kejurulatihan Tok Gajah kerana memilih pasukan amatur untuk menguji kekuatan mereka.

Bagi sesetengah 'pemain ke-12', Sri Pahang sekurang-kurangnya boleh mengajak pasukan dari pasukan Liga Super atau skuad saingan Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 yang jauh lebih kuat berbanding Kampung Ku FC.

"Lawan lah dengan kelab kuat sikit. Liga Malaysia ini pelik, main dua hingga tiga perlawanan lepas itu rehat sebulan macam mana pemain nak konsisten," komen penyokong Sri Pahang, Cucu Tok Gajah.

"Kalau lawan dengan pasukan begitu, memang boleh menang besar Sri Pahang. Semua pemain jadi berfungsi," kata penyokong Tok Gajah, Zkl Salleh.

Keputusan itu bagaimanapun akan menjadi motivasi buat Sri Pahang melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA selepas musim lalu sekadar mengisi pusingan 16 susulan tewas 0-4 di tangan Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram