PERLAWANAN penting menanti skuad kebangsaan apabila mereka bakal menerima kunjungan Taiwan dalam pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Aksi itu boleh dikatakan cukup getir memandangkan tiga mata diperlukan Harimau Malaya untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Mereka yang kini berada di tangga ketiga memerlukan keajaiban dalam perlawanan tersebut dengan jaringan besar perlu dicatatkan untuk merebut slot milik Kyrgyzstan ketika ini.
BACA LAGI: Pan-gon beri bayangan 'gung-ho', ambil risiko pastikan misi 8-0 terlaksana
BACA LAGI: Kapten percayakan Pan-gon, bawa Harimau Malaya ke pusingan seterusnya
Jumlah tiket yang terjual setakat ini adalah terlalu sedikit. — Facebook/FAM
Jadi, sokongan terbaik sudah tentu diharapkan daripada penyokong Harimau Malaya di laman sendiri bagi merealisasikan cita-cita layak ke pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.
Tetapi, di sebalik kehangatan menjelang aksi tersebut, terdapat isu lebih besar timbul apabila perlawanan terbabit seperti tidak meraih perhatian memberangsangkan.
Berdasarkan maklumat terkini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya 5,001 keping tiket terjual setakat pukul 8 malam Ahad dengan jumlah itu amat mengecewakan.
Manakan tidak, sorakan daripada penyokong adalah cukup penting dalam perlawanan terbabit dengan kemenangan sekurang-kurangnya 8-0 perlu direkodkan Harimau Malaya.
Melihat kepada luahan penyokong, ramai berasakan perbelanjaan untuk menonton aksi itu tidak berbaloi atas beberapa faktor, terutamanya dari segi kos dan peluang melayakkan diri adalah terlalu tipis.
Skuad kebangsaan meraih kemenangan tipis ketika berdepan Taiwan sebelum ini. — Facebook/FAM
"Diesel naik harga, tiket bas mahal," komen Mfadlizam Mhairi.
"Kalau beraksi dengan baik dalam perlawanan sebelum ini (menentang Kygyzstan) menang, semangat juga lah nak ke stadium. Ini seperti tidak cukup makan, terutamanya jentera serangan," kata Wan Fazhie Wan Aziz.
"Menang 100-0 pun tidak guna jika Oman seri dengan Kyrgyzstan tanpa jaringan. Kalau pergi untuk layan perlawanan demi semangat kesukanan OK lah," kata Mohd Hisham Hashim.
Pertemuan terakhir antara skuad kebangsaan dan Taiwan sebelum ini menyaksikan kemenangan tipis 1-0 berpihak kepada pasukan bimbingan Pan-gon di Stadium Nasional Taiwan pada 21 November tahun lalu.
Sekiranya Harimau Malaya hanya berada di tangga ketiga, mereka masih berpeluang melayakkan diri ke Piala Asia edisi akan datang, namun peluang mara ke Piala Dunia 2026 sudah tertutup.
Sepanjang kempen kelayakan kali ini, skuad kebangsaan meraih tujuh mata setakat lima perlawanan hasil dua kemenangan, dua kekalahan dan satu keputusan seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram